Pages

Saturday, 17 June 2017

Muhyiddin seru 'isteri MO1' pulangkan barang kemas RM128j.

Sabtu, 17 Jun 2017

Muhyiddin seru 'isteri MO1' pulangkan barang kemas RM128j

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin ternanti-nanti tindakan 'isteri MO1' untuk memulangkan barangan kemas bernilai RM128 juta kepada kerajaan Malaysia.
"Barangan kemas itu bukanlah milik peribadi 'isteri MO1' kerana dibeli dengan menggunakan wang 1MDB. Justeru, saya menyeru 'isteri MO1' supaya segera berbuat demikian. Alangkah baiknya jika 'isteri MO1' dapat memulangkan barangan kemas tersebut kepada kerajaan.
"Dengan pemulangan itu, kerajaan akan mendapat pertambahan dana sebanyak RM128 juta yang boleh dimasukkan ke dalam tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) untuk manfaat pelajar-pelajar miskin di seluruh negara.
"Saya menyebutkan perkara ini bukan dengan niat untuk menyindir. Tetapi menunjukkan bagaimana kehilangan wang 1MDB memberi kesan kepada rakyat jelata. Betapa banyak manfaat yang sepatutnya dikecapi oleh rakyat telah hilang begitu sahaja oleh kerana penyelewengan yang dilakukan oleh seorang perdana menteri," kata bekan timbalan perdana menteri itu.
Pagi ini, ADUN Damansara Utama dari DAP, Yeo Bee Yin meminta Rosmah menjelaskan individu yang dikenal pasti oleh Jabatan Keadilan (DOJ) sebagai "isteri Malaysian Official 1 (MO1)".
"Oleh kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengakui bahawa MO1 adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (seperti yang dilaporkan The Star pada 1 September 2016), maka tidak sukar untuk meneka 'isteri MO1'," kata Yeo.
Rosmah pula mengarahkan peguamnya untuk memantau media sosial berkaitan "serangan dan tuduhan palsu" terhadap beliau.
Menurut firma undang-undang NoorHajran Mohd Noor, peguam mereka "memantau semua catatan dalam mana-mana platform media sosial dan sebarang bentuk penerbitan lain berkaitan serangan palsu dan berniat jahat" terhadap anak guamnya itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam keadaan perbelanjaan kerajaan dipotong kerana kekangan kewangan yang meruncing, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk pelbagai program kebajikan rakyat misalnya tabung KWAPM.
"KWAPM pernah menerima peruntukan RM400 juta pada tahun 2009. Namun pada tahun ini hanya RM100 juta diperuntukkan kepada KWAPM untuk diagihkan kepada lebih 1 juta pelajar miskin di seluruh negara.
"Laporan DOJ menyebut RM20 bilion wang 1MDB telah dicuri oleh Najib dan konco-konconya. Bayangkan wang RM20 bilion yang ‘hilang’ itu sepatutnya boleh digunakan untuk membina 500 buah sekolah dengan purata kos RM40 juta sebuah atau 800 buah klinik kesihatan dengan purata kos RM25 juta sebuah.
"Tetapi oleh kerana pemimpin tidak amanah, manfaat ini tidak dapat dikecapi oleh rakyat. Malah, rakyat pula yang terpaksa menanggung beban dengan membayar pelbagai cukai untuk menampung perbelanjaan kerajaan," jelasnya.
Pada masa yang sama, tambah ahli Parlimen Pagoh itu, beliau tidak dapat bayangkan Najib masih boleh berdiri sebagai perdana menteri setelah segala kecurangannya didedahkan satu persatu.
"Teramat malu bangsa kita berketuakan seorang pencuri dan perompak," tambah beliau.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, 'isteri MO1' juga perlulah memulangkan kesemua barang kemas yang diterimanya seperti yang dilakukan oleh pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.
"Peguam Negara seharusnya menasihatkan 'isteri MO1' mengikuti langkah DiCaprio kerana ia adalah prosedur biasa dalam penyiasatan kes sepertimana yang pernah ditunjukkan SPRM dalam rampasan barang mewah milik exco Johor dan pegawai Jabatan Air Sabah baru-baru ini.
"Ketua Polis Negara juga perlulah bersikap lebih profesional dan rajin mencampuri tindakan DOJ ini kerana ia bukan tindakan saman sivil, tetapi tindakan jenayah. Ketua Polis Negara perlu menunjukkan beliau lebih cekap daripada FBI dengan mengambil sendiri barang kemas tersebut daripada 'isteri MO1'," katanya lagi.
Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment