Siapa musuh Islam?
Amanah sedih Hadi guna Islam pertahan kerajaan pencuri dan perompak
Ketika Amanah merasa sedih Islam dipergunakan untuk mempertahankan kerajaan kleptokrak yang mencuri dan merompak wang rakyat, DAP pula menyifatkan presiden Pas sebagai pembela Datuk Seri Najib Razak paling besar berbanding pemimpin Umno sendiri.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, yang paling menyedihkan beliau dengan kenyataan Hadi adalah Islam digunakan untuk berhujjah membela Najib.
"Saya paling sedih Islam telah dipergunakan untuk membela Najib dan kerajaan klpetokratnya," kata Khalid mengulas gesaan Hadi agar jangan membawa negara luar untuk menyiasat isu 1MDB dan lain-lain penyelewengan negara.
Menurut Khalid, Hadi sudah terlalu ketinggalan zaman dalam isu ini.
"Apa yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika adalah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak dari negara ini yang menyalahgunakan sistem di negara itu untuk merompak wang negara.
"Siapa yang nak panggil Amerika untuk menyiasat isu penyelewengan 1MDB di negara ini. Apa yang dilakukan Amerika adalah bertindak ke atas penyelewengan yang berlaku di negara mereka," katanya.
Apa yang hendak dibuat oleh rakyat di negara ini pula, katanya, adalah mahu menukar kerajaan yang merompak wang rakyat bukan mempertahankan kerajaan kleptokrat ini.
Menurut Khalid, hujjah Hadi bahawa kerajaan Islam Sepanyol jatuh kerana campur tangan asing tidak tepat. Yang lebih tepat adalah kerana rakyatnya kekalkan kepimpinan yang rasuah, tidak adil, tidak amanah untuk terus memerintah.
"Itulah yang kita seru rakyat. Tukar pemimpin kerajaan yang merompak wang rakyat, kleptokrat dan tidak amanah ini kepada kerajaan yang adil dan amanah agar negara ini kekal," katanya.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya ketika mengulas gesaan Hadi kepada semua parti politik berkata, Hadi adalah pembela Najib paling hebat berbanding dengan pemimpin Umno sendiri.
"Apa yang tidak boleh dilupakan di bulan Ramadan ini adalah perubahan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pembela Najib dan skandal 1MDB lebih dari sesiapa pun dalam Umno sendiri," katanya.
Katanya, DAP tidak akan menyokong sebarang campur tangan asing ke atas isu dalaman negara ini, "tetapi kita juga tidak menyokong Malaysia menjadi negara kleptokrasi dunia."
"DAP tegas dengan pendiriannya kerana tidak ada agama yang akan menyokong korupsi dan kleptokrasi," katanya.
Berbeza dengan rakan pimpinannnya dalam Pas sendiri, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak agar jangan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman negara seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB.
Dalam surat terbukanya kepada semua parti politik di negara ini, beliau meminta agar jangan bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaian isu dalam negara oleh mahkamah di negara asing.
"Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.
"Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,"katanya yang dipercayai mengulas tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika yang sedang menyiasat skandal 1MDB yang menggunakan kemudahan di negara itu untuk menipu wang negara.
No comments:
Post a Comment