Rakyat tak peduli siapa jadi PM, yang penting ekonomi, kos sara hidup
Pada
oleh RoketKini
KUALA LUMPUR, 9 JUN: Apa yang penting bagi rakyat pada saat ini bukanlah mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri atau senarai kabinet bayangan Pakatan Harapan (PH) tetapi adalah tumpuan kepada masalah ekonomi dan kos sara hidup.
Justeru, PH perlu berani keluar dari perangkap politik yang dimainkan Barisan Nasional (BN) dan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan keperluan rakyat kata Timbalan Pengarah Research for Social Advancement (REFSA), Wan Hamidi Hamid dalam tulisannya.
Ini kerana, kesan propaganda media pro-BN hanya melahirkan minda pengundi yang dikuasai hegemoni UMNO berteraskan kaum dan agama yang berjaya menakutkan mereka.
“Percayalah, rakyat tidak kisah sangat siapa yang akan menjadi Perdana Menteri atau siapa yang berada dalam Kabinet bayangan, atau siapa bakal menjadi menteri dalam kerajaan baru.
“Ini semua hanya dipedulikan oleh penagih gosip politik. Ini semua hanya sembang kencang politik,” kata beliau.
Apa yang rakyat mahukan jelasnya ialah tawaran dan jaminan PH terhadap kehidupan yang lebih baik, kos sara hidup terkawal dan tidak teruk terjejas akibat tekanan ekonomi.
“Semua ini mampu dilaksanakan jika pimpinan Pakatan Harapan tidak cepat melatah mahu menonjolkan ego setiap kali diserang oleh parti lawan.
“Masanya sudah tiba untuk ketepikan gangguan dan alihan pandangan tersebut, dan tumpukan kepada cadangan serta cara untuk memulihkan ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” kata beliau.
Antara perkara asas yang perlu menjadi tumpuan Pakatan Harapan juga katanya ialah rancangan untuk memulihkan ekonomi dan pentadbiran negara, serta mengurangkan amalan rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau mengambil contoh pilihan raya umum di Britain di mana Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn yang sering dikritik media negara itu semakin mendapat sokongan pengundi malah perkembangan terkini menunjukkan Cobyn berjaya menafikan majoriti Parti Konservatif.
“Pimpinan Pakatan tidak harus takut untuk melawan arus. Di Britain, Buruh tetap mara walaupun media di negara itu mengutuk cadangan memiliknegarakan kembali aset-aset awam. Malah, pakar ekonomi mengkritik cadangan menyediakan perkhidmatan percuma kepada rakyat, atas alasan ia akan meningkatkan hutang dan defisit negara.
“Sama ada Parti Buruh telah memenangi pilihan raya umum UK atau tidak, sama ada pemimpinnya Jeremy Corbyn menjadi Perdana Menteri atau tidak, ia telah mencatatkan satu kejayaan besar kepada golongan progresif,” kata beliau.
Kempen yang dilakukan Parti Buruh itu katanya boleh dijadikan panduan untuk memenangi hati pendundi negara ini.
“Parti Buruh tidak takut kepada “realiti politik”, malah berani membuat tawaran progresif kepada pengundi walaupun dikritik oleh pakar-pakar ekonomi,” katanya lagi. -Roketkini.com
No comments:
Post a Comment