"Dipukul mati pun, Kafa tak ada duit"
Isu tunggakan gaji pemain dan bekas jurulatih pasukan Kelantan nampaknya begitu sukar untuk ditangani Persatuan Bola Sepak kelantan (Kafa) berikutan penjelasan diberikan penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa.
"Kalau ada perintah dari langit sekalipun atau dipukul mati sekalipun, Kafa tak ada duit untuk bayar," itulah antara penegasan dilontarkan Annuar.
Malaysiakini semalam melaporkan Kafa diarahkan membayar tunggakan gaji dengan bekas jurulatih, Velizar Emilov Popov bernilai hampir RM60,000 dan tiga pemain sebanyak RM130, 486.87.
Annuar berkata, masih ramai yang tidak faham situasi dihadapi Kafa yang tidak mempunyai dana kewangan mencukupi untuk melunaskan hutang mereka.
"Apabila musim 2015/16 ada penaja yang tidak bayar mengikut belanjawan yang dibuat, maka berlaku defisit. Ini menyebabkan Kafa terhutang dengan hampir semua pegawai dan pemain skuad 2015/16.
"HUtang ini dibawa ke hadapa dan tercatat dalam akaun tahunan Kafa, bukan hanya seorang dua yang buat bising dan mengadu sana sini, kalau tak silap saya mungkin 10 atau 11 pemain import dan jurulatih luar dan lebih 10 pemain tempatan," katanya dalam tulisan di Facebook, malam tadi.
Anggota Parlimen Ketereh itu menjelaskan, tunggakan gaji itu bukan pertikaian atau sesuatu yang tidak mahu dibayar tetapi Kafa tidak mempunyai wang dalam aliran tunai untuk membuat bayaran pada masa ini.
Tambahnya, tajaan 2017 juga tidak cukup untuk skuad musim ini sementelah untuk membayar hutang musim lalu.
"Sama ada Kelantan berhenti menyertai liga Malaysia kerana ada hutang atau terus berikhtiar hidupkan bola sepak dan bina keupayaan secara sedikit demi sedikit dan bayar bila mampu selagi pasukan tidak mati.
"Mana tahu The Red Warriors mungkin maju atau dasar pihak berwajib berubah dan mendapat pembelaan seperti pasukan lain satu hari nanti," kata Annuar.
Sementara itu katanya, sesetengah pemain tidak faham dan membawa perkara itu ke pihak atasan seolah-olah Kafa enggan membuat bayaran tersebut.
"Mereka cuba dapatkan perintah, mereka boleh bawa dan mereka boleh dapat penghakiman seperti Kafa dikehendaki bayar dalam tempoh 14 hari. Tapi isunya bukan Kafa tak nak bayar.
"Pernah seorang pemain pergi ke mahkamah dan berjaya dapatkan perintah mahkamah dengan membekukan akuan Kafa. Apa dia dapat? Membekukan akaun yang tak ada duit tak menyelesaikan apa-apa.
"Hingga hari ini pemain tersebut tak dapat duit melainkan selepas dia berunding secara baik dan dapat bayaran secara ansuran," ujarnya.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment