Najib tak tau malu tuduh saya terbabit saman DoJ, kata Dr Mahathir
Dr Mahathir Mohamad berkata jika benar beliau dapat arah DoJ, sudah lama mereka yang bersalah dikenakan tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2017.
DR Mahathir Mohamad hari ini menggelar Perdana Menteri Najib Razak dan pemimpin Umno “muka tebal, tak tahu malu” dalam isu tuntutan rampasan aset dipercayai berkaitan 1MDB yang difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).
Bekas perdana menteri yang juga pengkritik tegar Najib dan Barisan Nasional (BN) itu berkata tuduhan pemimpin Umno tertentu yang mengatakan beliau dalang di sebalik tuntutan DoJ itu sangat mengarut.
“Saya bangga kerana ada orang kata saya boleh arah DoJ membuat sesuatu. Jika saya dapat arah sebuah agensi kerajaan Amerika, lama sudah si polan ditangkap dan dituduh mencuri berbilion dolar Amerika. Dah lama sudah hukuman yang setimpal dikenakan kepada si polan itu,” katanya dalam artikel terbaru di blognya chedet.cc.
“Malangnya saya sebagai bekas perdana menteri Malaysia yang tidak ada gigi tidak mempunyai apa-apa pengaruh, jauh sekali berkuasa mengarah mana-mana agensi Amerika, bahkan agensi Malaysia pun.”
Saman DoJ itu, ketiga sejak tahun lepas, menjadikan jumlah yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB kepada AS$4.5 bilion (RM19.24 bilion).
Saman DOJ terkini itu menyatakan bagaimana Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, membeli rantai leher berlian merah jambu 22 karat menggunakan wang daripada 1MDB untuk isteri "Malaysian Official No. 1” (MO1).
DoJ memohon untuk menyita, antara lain, kapal layar Equanimity milik Jho Low, bernilai AS$165 juta dan hak filem "Dumb and Dumber To" dihasilkan Red Granite, sebuah syarikat penerbitan dimiliki bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Najib.
Susulan saman itu bulan lalu, beberapa personaliti terkenal yang dinamakan dalam tuntutan itu – didakwa menerima hadiah dibeli hasil penyelewengan daripada syarikat pelaburan negara berkenaan, memulangkan semula hadiah kepada DoJ.
Dr Mahathir sebelum ini mencabar isteri Najib, Rosmah Mansor untuk menyaman DoJ jika beliau tidak bersalah.
MO1 sebelum ini dikenal pasti sebagai Najib oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Seorang wanita cantik Australia (Miranda Kerr) dan pelakon Leonardo DiCaprio sudah kembalikan hadiah yang diberi kepada mereka oleh Jho Low.
“Bila lagi Rosmah dan penerima-penerima rasuah di Malaysia akan kembalikan duit haram yang dicuri dari 1MDB, kepada rakyat Malaysia. Tetapi mereka muka tebal, tak tahu malu. Bila dituduh mencuri, mereka semua, Najib dan pemimpin Umno hanya senyum,” kata Dr Mahathir dalam blognya.
“Oleh itu tuduhlah saya, seorang yang tidak berkuasa, arah kuasa besar Amerika membuat laporan palsu terhadap Najib, sahabat Obama dan rakan golfnya, Trump.
“Hanya yang bangang akan percaya. Berkesan sungguh dedak yang dimasukkan ke dalam telinga, mata dan mulut oleh Najib, raja wang tunai,” katanya. – 5 Julai, 2017.
The Malaysian Insight,
No comments:
Post a Comment