Kit Siang puji Mahathir kerana buka peti besi Umno
Kawasan pedalaman Melayu yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat Umno selama beberapa dekad kini mula berubah, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.
Menurutnya, orang yang berjaya berbuat demikian, adalah tidak lain daripada presiden Umno selama 22 tahun itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang kini diterajuinya.
"Kita dapat merasakan permulaan kebangkitan politik baru di kalangan orang Melayu di kawasan luar bandar dan penempatan Felda yang sebelum ini tidak dapat ditembusi, baik oleh DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu juga PAS," katanya dalam satu kenyataan.
Walau bagaimanapun, Lim tidak dapat menelaah sama ada tsunami besar yang disaksikan pada pilihan raya umum lalu akan sekali lagi berulang di kawasan bandar kali ini.
Pemimpin veteran DAP itu mengakui bahawa mereka yang mengundi untuk perubahan pada pilihan raya lalu kini kecewa dengan keadaan pembangkang hari ini, termasuk perpecahan Pakatan Rakyat.
Katanya, ramai yang percaya bahawa perubahan kerajaan tidak akan berlaku pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, Lim mendakwa bahawa struktur, logo dan kepimpinan Harapan yang baru, dengan penampilan Mahathir sebagai ketua gabungan pembangkang, telah mencetuskan harapan baru semula.
Justeru, kata Lim, usaha mesti dilakukan untuk menaruh semula keyakinan terhadap mereka yang mungkin telah berputus asa.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment