Tangkapan 15 ahli AMK bukti Najib tidak hormati demokrasi
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesa pihak polis melepaskan 15 ahli Angkatan Muda (AMK)yang ditangkap selepas mengadakan flashmob di pintu masuk Politeknik Seberang Prai pagi ini.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil (Gambar atas) berkata, tindakan dilakukan itu adalah satu tamparan hebat terhadap amalan demokrasi di Malaysia.
"Ia menjadi bukti bahawa pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak menghormati prinsip demokrasi dan hak bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan, khusus di kalangan anak muda.
"Anak-anak muda yang berkumpul ini tidak membaling kerusi, suar mahupun selipar terhadap sesiapa malah hanya memegang plakad secara aman untuk menyatakan pendirian politik mereka.
"Adakah ini ditakrif pihak berkuasa sebagai satu "ancaman" sehingga perlu menangkap peserta flashmob aman?," soalnya dalam kenyataan hari ini.
"Adakah Datuk Seri Najib dan pentadbiran beliau sudah begitu panik dan takut tentang sentimen rakyat hinggakan peserta flashmob aman juga dilihat sebagai "musuh politik" yang perlu ditahan?," soalnya.
Justeru beliau mengesa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak memohon maaf dan membebaskan ke semua yang ditahan.
"Saya menggesa agar anak-anak muda ini segera dibebaskan dan Datuk Seri Najib perlu meminta maaf kepada mereka kerana apa yang mereka buat itu tidak salah malah hanya mengukuh dan mematangkan politik di Malaysia," ujarnya.
Ketua AMK Selangor Afzanizam Rahman (Gambar kiri) melihat tindakan itu sebagai satu penzahiran yang tidak munasabah dan pengecut selain pembunuhan demokrasi dan hak berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.
"Di Negeri Selangor, acapkali gerombolan biadap Jamal Yunos (Datuk Seri Jamad Md Yunos) bertindak berhimpun, mempersenda institusi Kerajaan Negeri dan memperbodohkan diri tanpa dikenakan apa-apa tindakan.
"Malah tindakan kurang siuman gerombolan biadap ini turut ditegur pihak istana tetapi tidak pernah ditahan atas alasan-alasan yang digunakan terhadap himpunan seperti di Pulau Pinang.
"Tindakan bertuala, membawa van jenazah milik masjid, membawa poster provokasi biadap menaiki MRT dan terbaru memakai pakaian sekolah ke Unisel seolah-olah direstui tindakannya dan flashmob aman adalah lebih merbahaya," ujarnya.
Justeru AMK Selangor menyeru mereka yang ditahan dibebaskan.
"Kami mengecam tindakan dwi standard yang dilakukan oleh sesiapa sahaja dalang yang mempergunakan Polis Diraja Malaysia. Malah kami menyeru agar hak mereka sebagai tahanan dijamin disisi undang-undang negara," ujarnya.
Hari ini dijadualkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melawat Pulau Pinang dan sekali gus menggempur kubu kuat bekas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.
Perdana menteri akan ke program ‘Makan Bersila Bersama PM” di Padang Politeknik Seberang Perai bersama kira-kira 20,000 hingga 25,000 orang.
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata orang ramai dijemput menyertai Najib untuk menjamu nasi kandar dan masakan Melayu tradisional bagi mencipta rekod kebangsaan dari jam 10 pagi hingga 3 petang.
Bagaimanapun, Pemuda PKR merancang untuk mengadakan satu ‘flashmob’ yang akan dilakukan diperkarangan politeknik itu.
No comments:
Post a Comment