Lengah usir Pas rumitkan Pakatan Harapan
| ARIF ATAN
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) berpendapat keengganan menghalau Pas dari kerajaan negeri Selangor menyukarkan Pakatan Harapan selain menjejaskan kredibiliti dua pemimpin utama PKR yang turut menerajui blok pembangkang negeri itu.
Wakil jurucakap GAH, Zanirun Baba berkata, kegagalan mengusir Pas hakikatnya memburukkan imej Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang masing-masing merupakan Pengerusi dan Setiausaha Pakatan Harapan Selangor.
Menurutnya, kumpulan pro-Pas dalam kepimpinan PKR yang dipanggil 'kartel' juga dibimbangi akan menyukarkan operasi dan strategi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.
"Melengah-lengahkan tindakan mengusir Pas di masa mereka kini jelas mahu bersekongkol dengan Umno sebenarnya memburukan imej Azmin, Zuraida dan kartel menghadapi PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14).
"GAH memberi amaran bahawa kartel akan membawa politik yang lebih rumit, kucar-kacir menjelang PRU14 seperti apa yang berlaku dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Sarawak sebelum ini," ujarnya.
Gerakan yang menyokong pengukuhan Pakatan Harapan itu menegaskan segala tindakan Pakatan Harapan Selangor tanpa pengecualian hendaklah praktikal berdasarkan keputusan Pakatan Harapan di peringkat nasional.
"Itu juga yang dimaksudkan melalui warkah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAH bersyukur Pakatan Harapan Selangor telah dibentuk strukturnya.
"Namun, GAH harus melihat secara berhati-hati kelicikan Azmin Ali dan kartelnya berdepan sikap dan tindakan mereka yang sebenar terhadap Pakatan Harapan," jelasnya.
Zanirun berkata, Azmin sekadar melepaskan batuk di tangga dan belum benar-benar memperlihatkan keikhlasan sebenarnya terhadap Pakatan Harapan memandangkan hanya satu per empat tuntutan GAH pada 31 0gos lalu dipenuhi.
Mengulas sikap Zuraida yang mempertikai usul AMANAH Selangor supaya kedudukan Pas dalam kerajaan negeri itu dipertimbang semula, beliau berkata pendirian Timbalan Pengerusi PKR Selangor berkenaan sebagai tidak praktikal.
"Seni politik sebegini sudah tidak praktikal lagi dalam era maklumat tanpa sempadan. Masyarakat sekarang ini sudah cukup masak dengan politik retorik oleh kelompok kartel," bidasnya.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menganggap usul tersebut yang dibahas Ketua AMANAH Kawasan Ampang, Mohd Anuar Mohd Yusof pada Konvensyen AMANAH Selangor kelmarin sebagai "bukanlah amalan politik yang matang."
Ketua Wanita Pakatan Harapan Selangor itu berkata, kesemua wakil rakyat Pas dalam kerajaan negeri tersebut telah menunjukkan komitmen masing-masing terhadap banyak polisi kerajaan negeri serta agenda reformasi.
"Saya melihat kenyataan terbuka oleh AMANAH ini adalah tidak bertepatan dengan semangat kerjasama dalam Pakatan Harapan dari segi konsensus," dipetik dari kenyataan Zuraida itu lagi.
Mengulas lanjut, Zanirun berkata, usul yang disepakati dalam Konvensyen AMANAH Selangor kali kedua itu adalah mengikut kerangka Pakatan Harapan.
Ujarnya, wajar bagi setiap keperluan dan hasrat mana-mana komponen parti sama ada AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP untuk dibawa sebagai perhatian khusus dalam Pakatan Harapan Selangor.
"Zuraida tidak perlulah meloncat dan mengamuk tidak ketahuan lagi disebabkan ‘stage’ tersebut belum lagi ketahap mendesak," bidasnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Pakatan Harapan bertindak terhadap kelompok Azmin dan kelompoknya yang dilihat masih memberi muka kepada Pas ketika parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu secara terbuka bermusuh dengan AMANAH dan DAP selain memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
"Diagnosis yang terbaik bagi Pakatan Harapan adalah mempelawa kelompok ini untuk meninggalkan Pakatan Harapan atau sekurang-kurangnya menjarakkan diri daripada mereka.
"Pakatan Harapan harus tegas terhadap Azmin dan kelompoknya dalam sebarang polisi penting," tambah Zanirun lagi.
No comments:
Post a Comment