Mat Taib macam katak, kata Tun Dr Mahathir
BENARKAH ADA LAPAN ADUN PKR SELANGOR MAHU SERTAI UMNO ATAU NAJIB "KENA KENCING" MENGENAINYA?
Siapa "kencing" siapa?
Adakah majoriti rakyat terasa telah "dikencing" bila Najib Razak tidak semena-mena didapati sanggup mengadakan sidang media yang besar, tetapi pengumumannya hanyalah mengenai perkara kecil iaitu kembalinya bekas Menteri Besar Selangor yang sudah lama "expired", Muhammad Mohd Taib menyertai semula UMNO?
Atau adakah Najib sendiri sebenarnya turut "kena kencing" dengan Mat Taib?
Beberapa jam selepas sidang media khas Najib yang akhirnya menjadi bahan ketawa dunia dan membuatkan wajahnya dikatakan lebih banyak mencuka berbanding ceria, berlegar perkhabaran bahawa mengikut perancangan awal terdapat lapan Adun PKR Selangor akan turut menyertai UMNO bersama-sama dengan Mat Taib.
Lantaran penyertaan lapan Adun PKR itu dianggap suatu berita besar dan boleh meruntuhkan kerajaan negeri Selangor kiranya diikuti dengan berpaling tadahnya 13 Adun Pas menyokong UMNO, seterusnya merupakan rangsangan untuk mengadakan PRU 14, itulah yang dikatakan menjadi asas mengapa Najib bersedia mengadakan sidang media khas, sambil mengarahkan semua Ahli MT hadir serta Zahid Hamidi diminta memendekkan lawatannya ke Perlis.
Seorang bekas Ahli Parlimen yang pernah rapat dan suatu ketika dahulu selalu berhubung dengan Mat Taib mengesahkan beliau ada dimaklumkan daripada sumber yang boleh dipercayai mengenai kemasukan lapan pemimpin PKR ke dalam UMNO bersama bekas Menteri Besar Selangor itu.
Menurut beliau, selain Mat Taib, penyeberangan kiblat politik lapan Adun PKR berkenaan turut direncanakan bersama seorang Ahli MT UMNO yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Najib.
Namun, kata bekas Ahli Parlimen itu, beliau tidak mengetahui secara detail siapakah lapan Adun yang didakwa mahu menyertai UMNO itu.
Soalnya, mengapa lapan Adun PKR tersebut tidak muncul?
Benarkah mereka pernah terlibat dalam perbincangan untuk menyertai UMNO?
Siapakah pula lapan Adun tersebut?
Adakah mereka tidak muncul kerana urusan jual beli dan penetapan harga yang sesuai gagal mencapai kata sepakat di saat-saat akhir atau ianya disebabkan oleh faktor-faktor lain yang hanya mereka saja mengetahuinya?
Jika diketahui tiada penyertaan lapan Adun PKR itu atau rundingan menjadi gagal, mengapa ia tidak dimaklumkan kepada Najib lebih awal supaya beliau dapat membatalkan atau tidak menghadiri sidang media berkenaan?
Kenapa Najib dimalukan sebegitu rupa?
Mungkinkah sebetulnya isu lapan Adun PKR itu hanya penyedap cerita yang sebenarnya sengaja direka supaya Mat Taib dapat membuatkan kemasukannya semula ke dalam UMNO disambut sendiri oleh Najib dan seluruh Ahli MT?
Kalau begitu, tidakkah bermakna Mat Taib telah "mengencing" Najib secara sedar dan sengaja?
Beraninya Mat Taib berbuat sesuatu yang tidak manis terhadap Pahlawan Bugis yang gagah lagi berani di mana kapal pun mahu dilayarkannya ketika sauh turut dilepaskan sama!!
Tidak mustahilkah pula berita tentang lapan Adun PKR itu adalah perkara benar, tetapi telah dapat dihidu lebih awal oleh Azmin Ali, lalu kemudian memintas dan menggagalkannya?
Tidak berhasratkah pihak-pihak terbabit - Najib, Mat Taib, seorang Ahli MT, lapan Adun PKR terbabit dan Azmin sendiri - mahu tampil mendedahkan cerita sebenarnya dalam sehari dua ini?
Jika semua terus berdiam diri dan enggan berkongsi, yang paling malu tentulah Najib sendiri kerana beliau didapati telah riuh sekampung untuk menjemput orangramai datang makan kenduri, tetapi yang dihidangkannya hanyalah kopi o saja.
Bagaimana dengan Mat Taib? Kenapa terus mendiamkan diri selepas diraikan menyertai semula UMNO?
Menurut bekas Parlimen yang pernah rapat dengan Mat Taib tadi, lewat malam semalam, selepas saja berakhirnya sidang media kemasukannya ke dalam UMNO, bekas Menteri Besar Selangor itu telah pun berlepas ke London bersama keluarganya.
Sekali lagi timbul persoalan, kenapa beliau terlalu cepat pergi ke luar negara?
Melarikan diri daripada apa?
Adakah jika cerita lapan Adun PKR mahu menyertai UMNO itu benar-benar menjadi kenyataan sebagaimana yang dirancang, Mat Taib akan tetap pergi ke luar negara juga? (ShahbudinHusin 18/09/2017).
No comments:
Post a Comment