Pemimpin PAS mahu Mahathir ditahan bawah Akta Hasutan
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhtar Suhaili mahu Tun Dr Mahathir Mohamad ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada Himpunan Anti-Kleptokrasi, Sabtu lalu di Padang Timur, Petaling Jaya.
Katanya, ucapan bekas perdana menteri itu jelas bukan sahaja menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi adalah melampau dan kurang ajar.
“Saya menyeru pihak berkuasa untuk menahan Tun M (Dr Mahathir) di bawah Akta Hasutan!
“Lebih menjengkelkan hadirin di himpunan tersebut turut bersorak dan seolah-olah bersetuju dengan sikap rasis yang ditunjukkan Tun M,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatkan di Harakahdaily.
Muhtar merujuk ucapan Mahathir yang juga adalah pengerusi Pakatan Harapan yang dipetik sebagai menggesa Najib supaya balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis, termasuk Najib.
Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macamana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."
Menurut Muhtar yang juga adalah bendahari Pemuda PAS, sikap Mahathir itu tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang negarawan.
malaysiakini
AMBOIII...SAYANGNYA PAS PADA NAJIB!!!
"Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal daripada keturunan lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."
Kata-kata di atas adalah antara yang disebut oleh Tun Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, di Petaling Jaya Sabtu lalu.
Tidak ada pemimpin atau ahli UMNO yang memberi reaksi terhadap kata-kata Tun Mahathir itu kerana hakikatnya mereka sedar kenyataan seperti itu, apalagi jika dilafazkan dalam ucapan di hadapan beribu-ribu hadirin, ia adalah perkara biasa saja sebenarnya.
Tetapi, bagi Pas, kata-kata Tun Mahathir itu dikatakan bersifat rasis, melampau dan kurang ajar.
Dengan yang demikian, kata seorang pemimpinnya, Pengerusi Pakatan Harapan itu perlu ditahan dan disiasat dibawah Akta Hasutan.
Amboiii...sayangnya Pas pada Najib!!!
Menuduh orang Islam lain sebagai kafir, munafiq, taghut dan macam-macam lagi tidak pula disedari sebagai melampau dan kurang ajar oleh Pas.
Apa pun, terbuktilah sudah rasa sayang Pas kepada Najib sekarang ini sudah melebihi rasa sayang pemimpin dan ahli UMNO sendiri.
Adakah ini tanda-tanda cinta Pas kepada UMNO makin bersemi?
Memang menakjubkan rasa kasih dan cinta Pas kepada Najib kebelakangan ini. Ini kerana di ketika Tun Mahathir disindir sebagai berdarah keturunan India beberapa kali oleh Najib sendiri, malah sewaktu Zahid Hamidi tidak bercakap benar dengan mengatakan nama penuh bekas Perdana Menteri itu ialah Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty, Pas sebaliknya hanya berdiam diri saja.
Mengapa tidak kedengaran Pas membidas Najib dan Zahid Hamidi ketika itu?
Namun, sebaik Tun Mahathir mengaitkan Najib dengan lanun Bugis saja pun dan meminta beliau balik ke negeri asalnya, bukan main melenting Pas dibuatnya.
Kenapa Pas begitu cepat melenting? Bukankah Najib sendiri mengakui beliau berketurunan Bugis?
Ehem...ehem...nampaknya rasa cinta, kasih dan sayang Pas terhadap Najib makin sukar untuk disembunyikan lagi. (ShahbudinHusin 16/10/2017).
No comments:
Post a Comment