Saman balu: Mahkamah arah Najib, Rosmah bela diri
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta tujuh yang lain untuk memfailkan pembelaan mereka berhubung saman yang difailkan oleh balu penyiasat persendiran (PI) P Balasubramaniam.
Saman itu difailkan oleh A Santamil Selvi dan anak-anaknya. Santamil adalah balu Balasubramaniam, yang terbabit dalam kes warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dijumpai mati akibat diletupkan.
Hakim Datuk Hue Siew Kheng memberi mereka, termasuk dua adik Najib dan peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham serta ahli perniagaan Deepak Jaikishian selama 14 hari bermula hari ini untuk berbuat demikian.
Hakim Hue hari ini menolak semua permohonan mereka yang mahu saman itu dibatalkan tanpa perlu mereka memfailkan pembelaan.
Ini adalah kali pertama Najib dikehendaki memfailkan pembelaannya apabila saman difailkan terhadapnya.
Santamil memfailkan saman itu dan mendakwa anggota keluarganya secara salah dibuang ke luar negara pada 2008 selepas pendedahan Balasubramaniam berkaitan dua akuan berkanun berkaitan Altantuya Shaaribuu.
Keluarga Balasubramaniam mendakwa mereka rugi dan hilang pendapatan susulan hidup dalam buangan antara 2008 hingga awal 2013.
malaysiakini.
No comments:
Post a Comment