Batu api, salah faham punca perbalahan, kata Ratu Naga
(Dari kiri) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Syahrul Ema Rena Abu Samah (tengah) dan Hamizura Osman ketika berbincang bersama mencari penyelesaian kepada perbalahan yang berlaku.
Hari ini Exco Wanita PKR Syahrul Ema Rena Abu Samah berjaya menemukan Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas aktivis Bersatu Hamizura Osman bagi tujuan mencari penyelesaian terhadap persengketaan dua pihak.
Syahrul Ema Rena atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga mengulas hasil pertemuan tertutup itu beliau dapati telah berlaku salah faham membabitkan dua pihak, dakwanya, kerana terdapat pihak luar dan dalam parti dakwanya, yang menjadi batu api terhadap punca perbalahan mereka.
“Batu api dan salah faham asas punca utama perbalahan berlaku. Lagipun mereka tiada masa untuk berinteraksi terhadap krisis berlaku. Alhamdulillah kedua belah pihak menyambut baik pandangan masing-masing,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Menurut Syahrul Ema Rena lagi, pertemuan selama dua jam yang telah berubah lokasi ke hotel Petaling Jaya Hilton itu, turut membawa beberapa wakil sebagai saksi dua pihak pada pertemuan petang ini.
Bagaimanpun beliau menegaskan,, pihaknya sebagai pendamai kedua belah pihak tidak mahu mencampuri mana-mana urusan parti yang terbabit.
“Saya tidak mencampuri mana-mana urusan parti sebab Saddiq dari PPBM dan kak Hamizura bukan PPBM, saya tawarkan diri jadi orang tengah sebab mereka berdua saya sangat kenali.
“Maka harapan saya dan juga menjadi agenda mereka berdua selepas pertemuan ini untuk lebih menumpukan kepada gerak kerja masing-masing untuk memenangkan Pakatan Harapan pada PRU14,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan Hamizura buat masa ini lebih berminat untuk mengunakan pentas Deklarasi Rakyat untuk meneruskan perjuangan menentang Umno-BN.
“Sekarang ini mereka fokus untuk meneruskan perjuangan. Saya sendiri yang sarankan kepada kak Hamizura untuk berdiri atas plaform Deklarasi Rakyat dan dia bersetuju dengan cara itu. Dia juga kata buat masa sekarang dia ingin berehat dan dia berkata, tidak akan kembali kepada Umno,” ujarnya.
Manakala Syahrul Ema Rena turut memberitahu perbalahan antara Syed Saddiq dan bekas Naib Presiden Bersatu Datuk Hamidah Osman tidak berbangkit dalam pertemuan diadakan hari ini.
“Kak Hamizura pun tidak boleh bercakap bagi pihak Datuk Hamidah kerana beliau telah bawa isu dakwaan Syed Saddiq itu kepada peguamnya. Tetapi secara peribadi Syed Saddiq maklumkan beliau akan bertemu Datuk Hamidah dalam waktu terdekat ini,” ujarnya.
Ditanya kemungkinan usaha yang dilakukan oleh beliau semata-mata untuk mencari peluang terhadap Hamizura atau Hamidah agar menyertai PKR, Syahrul Ema Rena berkata, apa yang dilakukan ini semata-mata untuk menjernihkan keadaan dan kekusutan pihak terbabit yang juga adalah rakannya.
Perbalahan antara Syed Saddiq dan Hamidah tercetus apabila ketua armada itu mendakwa hamidah sebagai ejen Umno. Bagaimanapun Hamizura yang tidak senang dengan kenyataan Syed Saddiq memberikan komen di dalam laman facebooknya yang dipetik berkata, sikap pelik Syed Saddiq yang pernah menyuruh kakaknya ‘berambus’ daripada parti itu, namun apabila bekas Naib Presiden Bersatu itu keluar parti secara sukerala, kakaknya itu dituduh pula menerima sogokan wang.
Pada 5 Oktober lalu Syahrul Ema Rena telah menyatakan hasratnya untuk menjadi orang tengah bagi meleraikan kekusutan dan salah faham antara Syed Saddiq, Hamidah dan adiknya Hamizura.
Malaysia Dateline
No comments:
Post a Comment