Pages

Monday, 9 October 2017

[Video Jamal Dah Macam 'Sampah' Dalam Umno! "Dia orang Umno kebal sangat ke?" Har har har!] Octoberfest 'halal', tapi reog pula haram & Umno pengecut.

Isnin, 9 Oktober 2017

Octoberfest 'halal', tapi reog pula haram



Saya Bugis daripada Johor, namun susur galur kebugisan saya tidak pernah pasti dari suku yang mana. Barangkali, kami ini Bugis marhaen yang biasa-biasa saja. Tiada siapa yang mencatat salasilah kami.
Walaupun dulu abah ceritakan serba sedikit susur galur kami, tapi saya tidak ambil ‘pot’ sangat sebab ia hanya cerita lisan turun-temurun, seperti dongeng orang tua-tua. Namun, tidak bermakna saya tidak menyayangi moyang-moyang saya yang terdahulu.
Saya juga hidup dikelilingi masyarakat Jawa. Di Johor, dua ras etnik ini jumlahnya cukup besar. Arwah ibu saya yang dikatakan Bugis totok pun cukup fasih cakap Jawa, sebab daripada kecil memang kami dikelilingi oleh orang Jawa.
Justeru, saya juga amat dekat dengan budaya orang Jawa Johor. Saya kenal orang Jawa ini ‘barannya' tak setanding dengan orang Bugis. Tapi, mereka sama-sama rajin, macam saya.
Tari kuda kepang
Salah satu seni tradisi orang Jawa yang saya minati ialah kuda kepang, saya belajar sedikit ketika umur belasan tahun lagi. Selain silat Sendeng sebagai seni pencak tradisi orang bugis, saya juga belajar sedikit jadi ‘jawa’ bila belajar tarian kuda kepang.
Bukan anak Johor kalau tak tahu kuda kepang, zapin, ghazal dan keroncong. Daripada kecil, saya terdedah dengan tradisi-tradisi ini. Inilah jati diri tradisi Bangsa Johor dan sosiobudaya politik orang Johor.
Kemajuan Johor sejak 70-an memang pesat. Orang Jawa memang rajin, kalau berkebun, tak seinci tanah pun dibiarkan kosong. Tepi parit pun ditanamnya pokok. Jikalau waktu kerja ditetapkan jam lima petang, mereka suka pulang selepas jam lima. Etnik ini tidak lokek, banyak mana pun kebunnya, mereka tak sombong bersedekah.
Orang Jawa ini cukup pandai merayakan kemewahannya dengan cara yang cukup adil dan saksama. Nasi ambeng antara manifestasi kemewahan dan kemurahan budaya orang Jawa yang demokratik.
Jadi, jika ada Jawa yang kedekut, itu bukan Jawa sebenar, itu Jawa ‘marang perapu kepunden parang sekeper’. Jawa yang tak kenal bangsanya.
Mana-mana etnik dan keturunan, pasti tidak akan lupa susur galur budaya akarnya. Bagi Jawa di Johor, mereka tidak akan lupa Ponorogo. Sama dengan keturunan Minang yang berasal daripada tanah Minangkabau. Begitu juga Bugis, mungkin masih ada yang ‘keep in touch’ dengan saudara mara di Makasar, Bonai atau Sulawesi.
Kuda kepang di Ponorogo dipanggil reog (reyog). Ini adalah permainan tradisi yang mempunyai sejarah yang unik dan tersendiri. Saya tidak bercadang untuk bercerita tentang sejarah reog. Cukup sekadar menyatakan bahawa, tidak Jawa seseorang itu jika tidak menghormati reog.
Reog ini cukup besar peranannya dalam jiwa masyarakat Jawa. Menghormati budaya mereka ini, samalah dengan memuliakan mereka yang sama-sama membangunkan negeri.
Namun hari ini, nasib reog yang menjadi kebanggaan Jawa dan rakyat Johor, semakin tidak dihargai. Jika ini berterusan, barangkali dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, Kuda kepang tidak akan ada lagi di bumi Johor.
Fatwa
Pada 2009, Majlis Fatwa negeri Johor menfatwakan bahawa permainan kuda kepang ini haram. Antara bunyi fatwa tersebut: “Permainan kuda pepang sama ada tarian biasa atau dramatari atau tarian gelanggang adalah haram kerana ia bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah.”
Barangkali tarian zapin antara lelaki dan wanita itu tidak haram berbanding kuda kepang atau mungkin juga, ia belum mahu diharamkan.
Saya tidak akan mempertikaikan hujah-hujah fatwa ini, tetapi saya mahu memberitahu bahawa, di Ponorogo Indonesia, yang mana penduduk Islamnya lebih ramai dari rakyat Johor, tidak pernah mengharamkan reog.
Saya tertanya-tanya, adakah mereka menganut Islam Syiah di Ponorogo? Semestinya tidak, malah mereka sama seperti kita iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Adakah mereka tidak cukup Islam seperti orang Johor? Mustahil kerana di Ponorogolah pusat pesantren terbesar di Indonesia. Beberapa tahun lalu, saya sempat singgah sekadar bersolat Zuhur di Masjid Agong, jumlah jemaahnya seakan sembahyang Jumaat.
Malah pada 2011, satu protes besar berlaku di Kota Ponoroga kerana ada suara-suara puak Islamis yang mempertikaikan reog dalam hal halal haramnya permainan itu.
Namun kenyataan itu dibantah keras oleh rakyat Ponorogo bersama dengan wakil Nahdatul Ulama (NU) Ponorogo dengan menempelak pandangan itu sebagai Islam yang radikal dan tidak toleran oleh beberapa puak Islamis di Indonesia.
Orang Jawa menganggap Indonesia itu Jawa, jantung Jawa itu di negeri Solo, dan Ponorogo adalah nadi kepada negeri Solo. Maka reog ini bukan barang yang kecil bagi keturunan Jawa.
Umno pengecut
Lama saya menantikan hal ini dibincangkan di Johor hinggalah 2017. Namun tidak ada seorang pun orang budaya apatah lagi pemimpin politik khususnya Umno yang memandang serius akan hal ini.
Kenapa saya kaitkan dengan parti Umno pula?
Kerana pengalaman saya sedari kecil, puak-puak UMNO inilah yang mendanai kumpulan-kumpulan kuda kepang di merata kampung di negeri Johor. Ya benar, mereka membantu menghidupkan tradisi ini, tetapi selepas fatwa 2009, kenapa pemimpin Umno diam? Adakah mereka mahu jadi seperti PAS?
Saya lihat perkara ini wajar diangkat kerana, saya mahu Johor sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, terus mengekalkan identiti tersebut. Kuda kepang harus dikekal, dipelihara dan dihormati agar semua bangsa dapat menikmati dan menghargai kerencaman sejarah bangsa kita.
Berbanding perayaan Octoberfest, Khaled Nordin dengan megah membenarkan sambutan ini dirayakan di Johor. Saya akur kerana barangkali penganjur patuh dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Tetapi Octoberfest bukan budaya bangsa kita. Mengapa Octoberfest boleh, tetapi kuda kepang diharamkan?
Nak bercakap tentang mabuk? Boleh, itu saya akan jawab jika ditanya.
Nilai menghargai seni budaya sudah terhapus di Kelantan. Di Kelantan mak yong diharamkan, wayang kulit pun diharamkan. Adakah Johor yang dikatakan boleh menjadi ‘economic powerhouse’, akan mengambil langkah yang jumud seperti Kelantan?
Saya menyeru kepada orang-orang Jawa di Johor agar bangun mendesak pemimpin Umno yang pengecut untuk mengembalikan seni tradisi besar ini agar ia terus wujud dalam ruang demokrasi kita.
Jawa pun ada hak dalam demokrasi.

MAHDZIR IBRAHIM ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor, penggiat seni budaya dan seorang pelukis.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment