EHHH...PAS INI BERJUANG UNTUK APA? KENAPA DITOLAK MENTAH2 HASRAT PENYATUAN YANG DIHULUR UMNO?
Kadang-kadang rasa kasihan dan simpati pun ada dengan UMNO. Melalui Ketua Penerangannya, Annuar Musa yang sudah beberapa kali menyatakan hasrat UMNO ingin bekerjasama dengan Pas, tetapi semuanya ditolak mentah-mentah begitu saja.
Apabila Annuar mengatakan UMNO dan Pas mempunyai DNA yang sama, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menempelaknya sambil berkata, "jangan perasanlah!!"
Kemudian apabila Annuar sekali lagi mengatakan UMNO sudah memberi mandat sepenuhnya kepada Najib Razak untuk merundingkan kerjasama itu dengan Pas, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan pula tampil dengan menyifatkannya sebagai propaganda dan lawak jenaka.
Kata beliau, Pas tidak akan sama-sekali bekerjasama dengan UMNO dalam pilihanraya umum akan datang ini.
Kenapa ditolak mentah-mentah hasrat penyatuan dan perpaduan yang dihulurkan oleh UMNO melalui Annuar itu?
Tidakkah hasrat kerjasama yang dilontarkan oleh UMNO itu baik demi kepentingan Melayu dan Islam yang kini sudah pun menjadi sebahagian agenda perjuangan Pas?
Ehhh...Pas ini berjuang untuk apa sebenarnya?
Pas seharusnya sedar, jalinan kerjasamanya dengan UMNO adalah perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh orang Melayu dan Islam negara ini serta pasti ramai yang akan menadah tangan tanda syukur jika ia benar-benar menjadi kenyataan.
Malang sekali, dalam Pas bertempik mengatakan mereka mahu kuasa Melayu dan Islam kekal di negara ini, tetapi dalam masa yang sama masih keberatan untuk bekerjasama dengan UMNO.
Berbanding Pas kekal ingin menjadi kuasa ketiga dengan harapan dapat menjadi "king maker", pilihan itu sebenarnya belum tentu menjanjikan kemenangan dan kejayaan buat mereka.
Oleh kerana pilihan pengundi dalam PRU 14 adalah sama ada mewujudkan kerajaan baru atau mengekalkan kerajaan sedia ada dan Pas hanya bertanding 100 kerusi serta tidak mungkin mampu menjadi kerajaan, kemungkinan mereka ditolak awal-awal oleh pengundi adalah amat tinggi.
Kiranya itu yang berlaku, ia jelas sesuatu yang merugikan Pas sendiri.
Dengan itu, bukankah lebih baik Pas terus saja menjalin kerjasama dengan UMNO demi peluang yang lebih tinggi untuk sama-sama menjadi kerajaan?
Dalam hal ini, Pas tidak perlu ada rasa malu untuk bekerjasama secara rasmi dengan UMNO. Jika sejak kebelakangan ini mereka boleh berkawan dan tiada rasa malu untuk duduk semeja, berbaju sedondon, minum teh tarik bersama hingga ke London dan sepentas memperjuangkan Akta 355 dengan sebuah kerajaan yang dikenali sebagai kleptokrasi, apalah sangat nak dimalukan untuk bersama UMNO secara rasmi dengan kepentingan Melayu dan Islam?
Lagi pun, mahu tidak mahu, Pas kena mengakui mereka hanyalah sebuah parti politik yang sama seperti lain-lain parti juga. Sebagai parti politik, yang dikejar tetap kuasa. Islam itu hanya kosmetik dan sedap untuk berceramah semata-mata.
Bukan saja bertahaluf siyasi selama ini kerana mengejar kuasa, hasrat Pas untuk menjadi "king maker" juga sebenarnya adalah demi kuasa. Dengan mengumumkan mahu menjadi "king maker", Pas tentulah mengharapkan BN atau Pakatan Harapan tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan atau berlaku Parlimen tergantung selepas pilihanraya akan datang dan dengan beberapa kerusi yang dimenangi, maka mereka mampu menjadi penentu atau memihak kepada siapa yang memberi tawaran lebih baik atau jawatan lebih banyak kepada parti itu.
Tidakkah keadaan itu dengan jelas menunjukkan yang dikejar Pas ialah kuasa juga?
Kiranya Pas benar-benar memperjuangkan Islam, bahkan berbuih mulut mengatakan DAP yang ada bersama Pakatan Harapan adalah musuh Islam serta berulang kali juga menyebut mengundi Pakatan Harapan sama dengan mengundi DAP, parti itu seharusnya tidak perlu berfikir dua kali, apatah lagi menolak, untuk menjalin kerjasama dengan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang?
Siapa lagi parti yang lebih Melayu dan kebangsaan sifatnya selain daripada UMNO?
Tolak campur darah bahagi, akuilah bahawa Najib, UMNO dan BN adalah pilihan yang terbaik bagi Pas untuk mengejar kuasa berbanding bersusah-payah mahu menjadi "king maker" yang belum tentu akan berjaya akhirnya.
Dengan bekerjasama secara rasmi dengan UMNO juga memberi lebih kemungkinan kepada Pas untuk membenam terus cita-cita politik Pakatan Harapan dan DAP menguasai negara ini.
Yang buruknya, dengan bertanding sendirian, bukan saja menjadi "king maker" belum tentu berjaya, malah jika UMNO dan BN menang dengan bergaya, ada kemungkinan pula Pas akan ditinggal dan diketepikan begitu saja.
Maka, jalan terbaik bagi Pas ialah segera mengikat kerjasama rasmi dengan UMNO sebelum pilihanraya ini bagi memastikan - sementara beroleh syurga di akhirat belum tentu - tetapi syurga dan nikmat dunia biar didakap dulu. (ShahbudinHusin 12/10/2017).
No comments:
Post a Comment