Protes harga minyak bergema di luar parlimen
BAJET 2018 | Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bersiap sedia menyampaikan ucapan Belanjawan 2018, sebuah kumpulan kecil mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga minyak berhampiran bangunan parlimen hari ini.
Lima belas individu mewakili kempen Gerakan Turunkan Harga Minyal (GERTAK) mengangkat sepanduk dengan slogan “bunyikan hon sebagai tanda protes kenaikan harga minyak” selain plakad “jangan tindas rakyat” sambil melaungkan “turun turun, harga minyak”.
Penyelaras GERTAK Faiz Fadzil berkata gerakan itu ditubuhkan hari ini sempena pembentangan belanjawan kali ini yang dijangka menjanjikan banyak kelebihan kepada rakyat atas sifatnya yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14.
“Harga minyak merupakan faktor utama yang mempengaruhi ekonomi hari ini. Kenaikan harga barang juga dikaitkan dengan kenaikan harga minyak.
“Kita mahu harga diturunkan secara stabil, bukan hanya gula-gula pilihan raya.
Walaupun merupakan timbalan ketua pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) dan mengakui kebanyakan yang menyertai protes merupakan anggota parti, Faiz menekankan GERTAK tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Faiz menambah, polis melarang mereka dari membuat demonstrasi di hadapan bangunan parlimen.
Kumpulan itu bersurai selepas 30 minit, sebaik Najib memulakan ucapannya.
Belanjawan bayangan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diumumkan Rabu lalu menjanjikan RM1 bilion untuk subsidi minyak sekiranya pakatan pembangkang itu mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.
Bulan lalu, Pemuda AMANAH menggesa protes seumpamanya diadakan seluruh negara.
Harga minyak yang diumumkan setiap hari Rabu sejak 30 Mac mengalami kenaikan.
Kadar harga minyak ditentukan oleh harga minyak dunia berdasarkan kedudukan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan nilai tukaran ringgit.
malaysiakini.
No comments:
Post a Comment