Pemuda Amanah Kedah dakwa Kerajaan Negeri tipu rakyat demi pertahan kuasa
Ketakutan yang teramat sangat oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah memaksa mereka untuk melakukan pelbagai provokasi dan tribulasi bagi mengaburi mata rakyat.
Hasutan demi hasutan begitu giat dilakukan oleh mereka dalam situasi yang amat terdesak.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir, masa yang sedia ada telah digunakan semaksima mungkin oleh ‘cybertrooper’ Umno.
Lebih mengecewakan katanya, pimpinan tertinggi Exco Kerajaan Negeri Kedah turut menjadikan platform kerajaan atau agensi sebagai pentas untuk menipu daya rakyat.
Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir
Malah katanya,yang terbaru di Langkawi,apabila Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mendakwa Pakatan Harapan (PH) bakal memansuhkan bantuan kepada rakyat sekiranya memerintah
kelak.
kelak.
“Dakwaan ini merupakan muslihat dan tipu daya kerajaan negeri untuk mempertahankan kuasa mereka yang semakin singkat.
“Lebih malang apabila ia dihasut oleh Exco Agama Negeri di hadapan peserta Amanah Ikhtiar yang terdiri daripada golongan usahawan wanita.
“Seharusnya beliau sedar bahawa PH tidaklah senaif yang didakwa,”jelasnya lagi.
Abdullah yang juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Sungai Petani turut berkata, dalam ceramah mahupun forum serta diskusi jawatankuasa tawaran peringkat negeri Kedah, PH amat rasional dan realistik dalam membela hak serta membantu rakyat.
Katanya lagi, semua ini jelas dan berada dalam pengetahuan umum termasuklah anak muda yang lebih mahir di alam sesawang dan maya.
“Tidak pernah ada satu pun kenyataan dari PH sebelum ini akan memansuhkan apa jua bantuan modal kepada usahawan sepertimana tipu daya Umno dan BN tersebut.
“PH akan bersungguh-sungguh bagi mengembalikan hak termasuklah subsidi yang telah dimansuhkan oleh Kerajaan Pusat pimpinan Najib.
“Selain itu, anak muda amat yakin dan percaya akan segala usaha yang dirangka oleh PH bagi memansuhkan cukai yang membebankan rakyat seperti GST, ” tegasnya.
Beliau juga berkata, pemansuhan cukai ini tidak mampu dilakukan oleh Umno dan BN, sebaliknya ia akan dinaikkan lagi sekiranya mereka berjaya menang dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Katanya lagi, negara ini mampu dipulihkan dengan kaedah penjimatan yang rasional seperti direncanakan oleh PH.
“Mengekang rasuah dan tabiat pemberian projek kepada kroni serta budaya ‘makan atas angin’ dapat menjimatkan jutaan wang rakyat.
“Tatkala itu, bukan sahaja bantuan modal dapat diteruskan, malah skim-skim pembangunan fasa kedua usahawan dan biasiswa kepada pelajar dapat dicambahkan demi memajukan kehidupan warga intelek.
“Rakyat akan menikmati bantuan ‘one-off’ melalui pelbagai program sepertimana yang sedang dipraktikkan di Selangor dan Pulau Pinang, ” tambahnya lagi.
Rentetan itu katanya, anak muda mesti berani untuk membuat perubahan dan bangkit untuk menolak pimpinan Umno dan BN yang dapat diumpamakan bagai kerusi-kerusi usang yang semakin mereput dan dimakan anai-anai.
Tegasnya lagi, keberanian yang bakal dibuat oleh rakyat khususnya di negeri Kedah menjelang pilihan raya yang akan datang mampu membawa perubahan yang besar kepada nasib rakyat negeri ini yang tidak dibela dan dipedulikan kerajaan Umno dan BN secara serius.
No comments:
Post a Comment