Siapa kata Siti ada di Padang Timur Sabtu ini?
Menjelang himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi pada Sabtu ini tiba-tiba tersebar poster kononnya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin akan turut menyertai program Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Melalui poster yang tidak diketahui asal-usulnya itu penyanyi terkenal terbabit didakwa akan "memeriahkan" himpunan berkenaan.
Bagaimanapun pengurus Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak, berkata pihaknya tidak tahu-menahu langsung mengenai kehadiran penyanyi terbabit ke himpunan 14 Okt ini.
Katanya, pihak yang sepatutnya menjawab persoalan berkenaan ialah HARAPAN.
“Saya rasa tidak adil kepada Datuk Siti jika saya yang mengulas sebarang kenyataan mengenai perkara ini. Ia harus dilanjutkan terus kepada Pakatan Harapan.
“Mengapa perlu berbuat demikian, atau biar mereka yang menafikan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Himpunan yang menyasarkan kehadiran 100,000 orang itu diadakan pakatan pembangkang ketika bahang pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin terasa.
Bukan daripada pihak Siti
Kleptokrat ialah istilah yang popular selepas pihak berkuasa AS memulakan tindakan undang-undang terhadap dana yang didakwa diselewengkan daripada syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.
Majoriti parti pembangkang menuding jari kepada Datuk Seri Najib Razak atas skandal berkenaan
tetapi Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan perdana menteri tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada tindakan akan diambil ke atasnya.
Terdahulu, Siti Nurhaliza didakwa bakal diturunkan sebagai calon HARAPAN di Pekan untuk berdepan Najib.
Beberapa kenyataan dibuat penyanyi itu yang dilihat menyebelahi Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin mendorong khabar tersebut tersebar.
Siti Nurhaliza juga pernah mengusik aksi Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang bertuala ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Disember tahun lalu.
Namun desas-desus itu dinafikan sendiri salah seorang pemimpin kanan BERSATU.
Menurut Rozi lagi, kebiasaannya apabila timbul sesuatu isu penyanyi Biarlah Rahsia itu tidak akan tampil memberi sebarang kenyataan.
“Siti bukan jenis akan memberi respon mengenai sesuatu yang bukan datang daripada pihaknya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor yang juga Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengesahkan poster berkenaan adalah “palsu.”
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) Syed Saddiq Abdul Rahman pula meminta orang ramai tidak memfitnah Siti Nurhaliza.
“Orang ramai harus berhenti memfitnah Siti. Kami tak tahu-menahu mengenai perkara itu,” katanya.
Ditanya sama ada BERSATU berminat Syed Saddiq,
Dan apabila ditanya sama ada BERSATU sedia menerima Siti Nurhaliza menyertai parti berkenaan, Syed Saddiq menjawab: “Sudah tentu. Dia adalah pujaan saya dan pujaan ramai di Malaysia".
Namun kata Syed Saddiq pihaknya tidak bersetuju jika Siti Nurhaliza dipergunakan untuk kepentingan politik.
“Siti Nurhaliza orang yang sangat dihormati dan boleh membuat keputusan sendiri tanpa diwakili mana-mana pihak," katanya.
malaysiakini.
No comments:
Post a Comment