Kebenaran diperolehi, turun himpunan santai esok!
Sidang media Pakatan Harapan memaklumkan penganjuran Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi.
Orang ramai disaran hadir pada program Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi esok yang berlangsung di Padang Timur MBPJ bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha menyelamatkan negara daripada amalan kleptokrasi dan kebenaran pihak berkuasa sudah diperolehi.
Pengerusi jawatankuasa komunikasi dan mobilisasi Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sabu yakin himpunan yang bermula jam 4 petang itu akan berlangsung lancar, aman dan tenteram.
“Kebenaran dari pihak berkuasa sudah kita perolehi. Tiada lagi halangan untuk kita raikan pesta demokrasi ini,” ujar Mohamad yang juga Presiden AMANAH tanpa menyebut apakah polis juga sudah memberikan kebenaran.
Pihak penganjur, ujar beliau menggalakkan orang ramai datang ke Padang Timur MBPJ menggunakan kenderaan awam khususnya sistem transit aliran ringan (LRT) yang mempunyai stesen hentian di Padang Timur.
Pihaknya juga akan berusaha menamatkan program pada jam 11 malam bagi memudahkan para peserta khususnya yang datang menaiki LRT untuk beredar pulang dari lokasi himpunan sebelum jam 12 malam.
“Oleh itu orang ramai janganlah bimbang kerana aliran kenderaan akan dikawal dengan baik oleh sukarelawan daripada parti-parti Pakatan Harapan dan pihak keselamatan PBT.
“Kita juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pasukan polis trafik yang akan menjaga lalu lintas,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan orang ramai agar menjauhkan sebarang tindakan provokasi dan sentiasa mematuhi nasihat penganjur.“Selamat datang kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
WARGA PENEROKA FELDA JUGA DISARAN TURUN
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut menggesa seluruh lapisan masyarakat menghadiri Himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi esok.
Presidennya Mazlan Aliman berkata, himpunan aman ini adalah langkah berterusan membantah perompakan wang rakyat yang dilakukan pemimpin yang berkuasa.
“Bagi Anak, tentu sekali kehilangan berbilion ringgit wang peneroka Felda khususnya 5 tahun kebelakangan amat dirasai.
“Penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan FGV serta ketidaktentuan situasi Felda hingga ke hari ini, adalah suatu malapetaka besar,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru, rakyat tambahnya tidak boleh berpeluk tubuh atau menjadi penonton semata-mata ketika para pemimpin terus menerus bermaharajalela merompak hak rakyat.
“Anak konsisten mendesak suatu Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan mempastikan mereka yang terlibat melakukan penyelewengan didakwa ke muka pengadilan,” tegas beliau.
No comments:
Post a Comment