Skandal Ketua Pengarah SPRM: Sikap membisu mufti, Hadi ‘aneh’
Sikap banyak pihak dalam institusi agama yang membisu termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin tertinggi parti politik berimej Islam berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang adalah menghairankan.
Dato’ Tamrin iaitu anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba berkata, sikap berdiam diri bermula daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir sehingga beberapa mufti yang sebelum ini banyak bersuara adalah pelik.
“Yang aneh juga mengapa sehingga hari ini Jamil Khir Baharom, Menteri Agama, Ketua Pengarah JAKIM dan selain Mufti Perlis yang bersuara mufti-mufti lain terutama kaki-kaki cakap seperti Mufti Perak dan Mufti Pahang senyap sunyi seolah-olah anda semua melindungi maksiat yang dilakukan oleh KP SPRM itu,” bidasnya.
Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu berpendapat, mungkin pembongkaran skandal tersebut melalui beberapa siri video yang tular di media sosial sebelum ini bagi mereka terbabit tidak menyalahi hukum Allah.
“Begitu juga sikap membisu Hadi (Presiden Pas) dan pewaris-pewaris Nabi yang lain. Apakah mereka dah terjumpa ayat-ayat suci dalam al-Quran dan Hadith soheh yang mengatakan perbuatan keji sebegini dibolehkan.
“Mereka boleh beralas dengan mengatakan jika perkara ini benar maka salah dari segi hukum,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengakui ilmu agama pihak terbabit lebih tinggi daripanya, Tamrin berkata, beliau sekadar mengingatkan bahawa segala pangkat, pingat, gelaran dan segala kemewahan lain bersifat sementara sahaja.
“Saudara, saya, sultan-sultan, peminta sedekah semuanya sama iaitu kita akan mati dan tidak boleh lari daripada menghadapi hukuman Allah apabila sampai masanya,” tegas beliau.
Mengulas reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa semua pihak menghentikan sebarang perbuatan pembunuhan karakter terhadap Dzulkifli dan memberinya peluang untuk menjalankan tugasnya, beliau menganggap kesalahan dilakukan pegawai kanan SPRM itu sebagai serius.
“KP SPRM ini mungkin ada kewajaran soheh yang ditimbulkannya berhubung pemotongan bajet untuk SPRM tetapi apakah Kabinet beranggapan tindakan KP ini tidak menyalahi mana-mana aturan pentadbiran negara apabila beliau mempertikaikan keputusan kerajaan secara umum.
“Terlibat dalam skandal dengan isteri orang (perlu diingatkan sudah hampir tiga bulan beliau masih tidak membuat sebarang penafian umum walaupun cabaran demi cabaran diutarakan).
“Dalam perkara ini, apakah pihak kerajaan beranggapan skandal seks seperti dilakukan KP SPRM ini adalah amalan biasa sahaja maka tidak perlu diambil sebarang tindakan undang-undang walaupun undang-undang sedia ada berhubung kes sebagini masih belum dihapuskan atau dipinda oleh Parlimen,” jelas Tamrin.
Walaupun siri video terbabit sudah tersebar sejak bulan lalu, Dzulkifli tidak menafikan kesahihan isi kandungan dakwaan menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang itu.
Sebaliknya, Dzulkifli menganggap hal tersebut sebagai “taktik kotor” yang bertujuan mencemarkan imej dan reputasinya serta menjatuhkan kredibiliti SPRM dalam menjalankan tugas memastikan negara bebas rasuah dan salah guna kuasa.
“Pada saya, KP SPRM tanya diri sendiri sama ada dia telah melakukan perkara-perkara jijik itu atau tidak, dan sama ada dia telah melanggar aturan dan peraturan pentadbiran.
“Jika Chua Soi Lek sanggup meletak jawatan Kabinet kerana skandal seks dan Menteri Pertahanan Britain meletak jawatan baru-baru ini kerana hanya memegang lutut seorang wanita kira-kira 12 tahun dahulu.
“Maka saya hairan mengapa KP SPRM yang rajin berkhutbah, bersajak dan berucap dengan menyelitkan unsur-unsur keagamaan ini masih berdegil seolah-olah dia bersih,” tempelak Tamrin lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan hubungan haram.
No comments:
Post a Comment