Pantun ‘Anak Cina’ panaskan Adun DAP Johor
Pantun itu mengundang kemarahan kebanyakan Adun DAP yang menuduh pantun itu berbaur perkauman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 November, 2017.
SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kecoh apabila rangkap pantun "Anak Cina memasang lukah" yang dibacakan Adun Barisan Nasional (BN) itu dituduh menimbulkan sentimen perkauman tebal oleh wakil rakyat DAP.
Ketika membahaskan Bajet Johor 2018, Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai) mengungkapkan beberapa rangkap pantun yang antaranya menyebut "Anak Cina memasang lukah, lukah dipasang di Sungai Senai, mulut busuk bila bermadah, tuduhan jahat buruk perangai.”
Berikutan itu, beberapa Adun DAP bangkit membantah mendesak Speaker Dewan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz mengarahkan Ali Mazat keluar dari dewan.
Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nanas) menggesa Mohamad Aziz menghalau Ali keluar kerana pantunnya itu berbaur perkauman.
“Teruk betul Bukit Permai, tolong halau keluar daripada Dewan, cakap macam perkauman,” kata Yeo.
Selain Yeo, Tan Hong Ping (DAP-Mengkibol) dan Gan Peck Cheng (DAP-Penggaram) juga turut melahirkan ketidakpuasan hati.
Ali berkata, beliau berhak mengungkapkan pantun tersebut mengikut kehendaknya namun Mohamad menasihatkan Ali untuk berhenti melantunkan pantun itu dan meneruskan ucapannya.
Menyambung ucapannya itu, Ali menukar rangkap pantunnya dari “Anak Cina” kepada “Anak Ali.”
Tindakannya itu ternyata disenangi Adun DAP.
Pantun klasik itu pernah dinyanyikan dalam filem Gurindam Jiwa (1965) keluaran Jalan Ampas oleh pelakon terkenal Nordin Ahmad dan Latifah Omar.
Petikan lirik yang digubah dalam filem itu mengisahkan mengenai rindu antara sepasang kekasih. Dalam filem popular itu, pantun itu digubah seperti berikut:
"Anak Cina pasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati."
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati."
Ketika ditemui wartawan diluar dewan, Ali berkata dia hanya mengungkapkan rangkap pantun klasik dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan masyarakat Cina.
“Pantun ini pantun lama dan budak-budak sekolah dahulu pun pernah dengar.
“Jadi, ini perkauman ke? Saya harap anggota dewan lebih rasional dan bagi orang-orang yang tinggal di Malaysia, ketahuilah budaya kita sesama sendiri.
"Kita semua kena memahami budaya dan adat masyarakat lain supaya tidak timbul salah faham," katanya lagi. – 29 November, 2017.
The Malaysian Insight
Bajet Johor 2018 janji lapok
BAJET Johor 2018 yang dikemukakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor hanyalah janji lapok pilihan raya yang sudah diulang banyak kali sebelum pilihan raya umum lepas lagi, kata wakil rakyat DAP.
Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berkata, antara intipati Bajet Johor 2018 termasuklah pembinaan Hospital Pasir Gudang dan projek naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang, yang didakwanya telah lama dijanjikan kepada rakyat.
Menurutnya, Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin sendiri telah mencadangkan pembinaan hospital tersebut sejak 2011.
Liow berkata pengganti Khaled, Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) juga pernah mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk Fasa 1 pembinaan Hospital Pasir Gudang pada November 2013.
Menurut Liow, Normala juga pernah mengumumkan buat kali kedua bahawa pembinaan hospital itu telah diluluskan dan projek pembinaan akan bermula pada 2016 dan dijangka akan mengambil masa tiga tahun untuk siap.
Pembinaan hospital itu juga pernah diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dalam Bajet 2016.
"Dan sekali lagi menteri besar mengumumkan isu pembinaan Hospital Pasir Gudang dalam Bajet (Johor) 2018," katanya sambil menambah status tanah projek tersebut juga masih belum ditukar.
Liow berkata demikian ketika perbahasan Bajet Johor 2018 di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.
"Pembinaan hospital adalah keperluan rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat. Jangan jadikan (pembinaan hospital) demi Barisan Nasional (BN) dan untuk BN," katanya lagi.
Liow turut membangkitkan isu projek penaiktarafan Lebuhraya Pasir Gudang yang sudah bermula sejak 2012, namun hanya Fasa 1 sahaja yang sempat siap.
Fasa 1 projek itu sepanjang 7.7 kilometer yang menelan kos RM164 juta.
Projek penaiktarafan itu akan menambahkan jumlah lorong Lebuhraya Pasir Gudang kepada enam lorong.
"Projek Fasa 2A yang bermula dari Mac 2016 dijangka siap pada September 2018. Sudah tentu Fasa 1 dan Fasa 2A yang sepanjang 16KM mengambil masa enam tahun.
"Bagaimana pula bagi Fasa 2B (sepanjang 4KM dari persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang) dan Fasa 3 (sepanjang 7KM dari persimpangan Perling ke Perimpangan Kangkar Tebrau)? Bila nak mula kerja dan bila nak siap?"
Liow menegaskan bahawa Lebuhraya Pasir Gudang sangat penting buat Johor Baru memandangkan kesesakan lalu lintas sekarang ini.
"Pemandu menghadapi kesesakan lalu lintas setiap hari. Pihak kerajaan perlulah menunjukkan iltizam politik untuk melaksanakan projek ini dan siap dalam masa yang singkat. Bukannya ambil masa 10 tahun pun tidak dapat siapkan (projek) 26.7KM ini,” katanya. – 28 November, 2017.
The Malaysian Insight
No comments:
Post a Comment