Cukup-cukuplah YB, berambuslah!
Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, pelbagai paluan gendang dan seruan para politikus di kedua-dua belah pihak memeriahkan situasi kehidupan yang semakin tidak menentu.
Kalau baca di media sosial, negara sedang menuju ke arah kebangsatan yang dibawa politikus kleptokrat. Manakala kalau mengikuti media perdana yang hampir bankrap semuanya, negara sedang bergerak pantas menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan antara negara terhebat di muka bumi.
Terpulanglah kepada rakyat unuk menilai dan membuat keputusan mengikut peringkat kepandaian dan kematangan. Tidak perlu bijak dengan GCPA 3.86 atau mempunyai MBA dari universiti atas talian, apa lagi PhD dengan tesis yang sendiri tidak malu untuk membaca.
Kata orang, tepuk dada tanya selera, baik makan dedak mahupun sukarela sebagai parti berkecuali yang mahu ke syurga dengan mengkafirkan sesiapa sahaja di atas nama perjuangan agama.
Sebagai seorang yang pernah cuba menceburkan diri dalam politik, dan bertahan selama beberapa bulan, ada sedikit sebanyak pengalaman untuk sebuah memoir atau biografi setelah pencen.
Ketika itu, politikus yang sudah pun meninggal dunia menawarkan saya untuk balik kampung dan memberi sumbangan kepada orang kampung. Sesuatu yang memberi suntikan semangat dengan peluang yang diberikan.
Takkan salam kosong?
Kata politikus yang juga ahli korporat itu yang bertaraf menteri kemudiannya, beliau bersedia menaja sebarang aktiviti yang saya inginlakukan.
Tetapi antara syarat, saya gunakan apa sahaja dana sendiri dahulu dan dia bayar kemudian. Keduanya, jangan sekali mengatakan saya ditaja oleh beliau dan mesti buat tidak kenal antara satu sama lain.
Dia juga mengatakan, yakni lebih dua puluh tahun lalu, parti yang didokongnya terlalu ramai perompak terutama para pemuda yang kebanyakan tiada kelulusan akademik. Kampung memerlukan mereka yang sudah berjaya sama ada akademik mahupun kerjaya, bukan sekadar perabis beras dan yes men, kata si politikus yang menjadikan saya teruja.
Setelah menerima cabaran itu dan memulakan fasa memperkenalkan diri, dengan bertemu para politikus senior mengikut hirarki dan adab politik, saya mula merasakan politik bukan untuk saya.
Selain terpaksa mengikut 'adat' untuk tidak melangkah bendul dan mesti berpura-pura, hipokrit sepanjang waktu. Membuang masa di kedai kopi dan mengikut para politikus yang hampir semuanya mengejar projek dan mencari makan dengan menunggang apa-apa sahaja, asalkan perut terisi, boleh bergaya dengan 'rezeki politik'.
Apalagi ramai yang bertanya selamba selepas bersalam, "Takkan salam kosong sahaja?"
Wang menjadi nadi politik yang menjengkelkan. Kalau ada yang berkata perjuangan demi agama, bangsa dan negara, saya mahu petik perdana menteri: "kepala bapak kaulah!"
Dari pengalaman dengan para politikus senior yang bangga dengan 'aku makan garam' dahulu dan mesti melalui kaedah bertatih, yang saya dapat simpulkan, para politikus yang makan garam dahulu itu, majoritinya tidak mahu melepaskan jawatan selagi boleh menikmati habuan politik.
Generasi lebih baik
Kalau di kebanyakan negara maju yang demokrasinya jauh ke hadapan, ramai pemimpin muda dilahirkan dan kadang-kadang tiba-tiba muncul kerana memang mempunyai kualiti dan kewibawaan.
Tidak perlu ada ikatan darah seperti anak Tun Razak, anak Hussien Onn, anak Mahathir, menantu Pak lah, anak Lim Kit Siang, anak Karpal Singh, anak Samy Vellu, anak Anwar Ibrahim atau anak Hadi Awang.
Dinasti politik di Malaysia di kalangan elitis semakin menjadi budaya yang diterima kerana untuk membalas budi. Pemikiran feudal yang terus memundurkan bangsa dan menjahanamkan integriti, maruah dan kesetiaan kepada negara, sebagai puncak perjalanan politik.
Kerana itu dengan melihat para politikus yang sedang sibuk berkempen, hampir semuanya muka-muka lama yang telah menjadi politikus semenjak empat dekad, dan mungkin semenjak merdeka lagi. Manakala barisan pelapis pula, kelompok generasi kedua dinasti politik yang mengambil alih.
image: https://i.malaysiakini.com/1173/4f88a076a4c3bf65a29306d5e22543c2.jpeg
Apakah ramai cerdik pandai di kalangan 32 juta rakyat Malaysia hanya layak sebagai pengundi atau seperti saya, sudah melupakan sahaja politik yang masih kuno, malah terus memundurkan dalam perbagai segi?
Ramai politikus yang banyak kali menjadi Yang Berhormat (YB), ketua bahagian, atau kedudukan dan jawatan politik tertentu sudah patut berambus sahaja. Cukuplah tuan dan puan berbakti kepada negara. Ramai yang sudah kaya-raya dan tidak habis makan tujuh keturunan.
Berikan peluang kepada generasi yang sepatutnya menjadi generasi lebih baik di bawah perjuangan politik kalian. Bersihkan politik daripada budaya usang, kotor dan feudal yang tidak membawa perubahan kepada bangsa seluruhnya.
Sampai bila mahu menongkat langit? Sehebat-hebat Robert Mugabe pun dijatuhkan oleh kawan sendiri.
Selepas enam dekad
Tidak perlulah ada sayap pemuda misalnya, buka kepada semua untuk sama taraf. Kalau dua penggal menjadi Yang Berhormat, ketua bahagian, ketua wanita dan apa sahaja jawatan, berambuslah.
Berambuslah kerana kalian yang mahu dilantik, beriya-iya berkempen. Apa-apa sahaja 'bakti dan jasa' kalian sudah dapat pampasan. Tidak perlu ungkit-ungkitlah. Buat orang menyampah dan meluat sahaja.
Terutama kabinet - dari perdana menteri kepada setiausaha politik sehingga kepada pembawa beg isteri perdana menteri. Kalian tidak hebat kalau memerlukan lebih daripada dua penggal. Malah, nampak sangat kalian mengutamakan perut daripada perjuangan ke syurga.
Selepas enam dekad merdeka, di abad ke 21 dan konon-konon sudah hampir mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi, harap kalian, politikus yang sudah tidak boleh dipakai lagi, sudah lupus tarikh kegunaan.
Yang sudah kaya raya, yang rasuah, yang menyeleweng dana, yang ponteng, berkecuali dan menjadi monyet di parlimen, para kleptokrat yang masih belum terasa keparat, sila berambus, nyahlah kalian dan bersedialah menghadapi hari pengadilan di padang mahsyar!
Harap faham dan insaf, kalau belum sedar diri, sila pergi meninggal!
MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
malaysiakini.
No comments:
Post a Comment