Pages

Sunday, 19 November 2017

[Video MENGAPA Hadi (Presiden Pas) tidak berani sebut nama penyangak itu?] KENYATAAN IHSAN ANWAR & Apabila Pas mempasubungakan dirinya.

Isnin, 20 November 2017

Foto Rafizi Ramli.

KENYATAAN IHSAN ANWAR
BAGI PIHAK KELUARGA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
ZIARAH DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK, PERDANA MENTERI MALAYSIA
Bagi pihak keluarga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas ziarah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini. Perdana Menteri dan isteri sempat menziarahi ayah kami, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sekarang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu, yang kecederaannya menjadi semakin parah akibat pemenjaraan dan kemalangan bulan lepas semasa dalam jagaan Kerajaan Malaysia.
Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon supaya Kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar ayah kami dibenarkan berada di kemudahan perubatan di luar penjara untuk menjalani rawatan, selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh panel doktor yang merawat beliau.
Bagi pihak keluarga, izinkan saya melahirkan sepenuh penghargaan kepada pasukan pakar perubatan serta staf HKL beserta kakitangan penjara di atas rawatan dan pemulihan buat ayahanda kami.
Saya berharap budi bicara yang ditunjukkan setakat ini turut dipanjangkan kepada permohonan untuk membenarkan ayah kami mendapat rawatan di kemudahan perubatan luar penjara untuk tempoh selama yang mungkin.
Muhamad Ihsan Anwar

Apabila Pas mempasubungakan dirinya

Apabila Pas mempasubungakan dirinya
Dalam undian peringkat Bacaan Kedua berkaitan perbahasan mengenai Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 13 November 2017 menunjukkan undian 107 daripada 222 anggota parlimen menyokong, 59 anggota parlimen menentang dan 11 anggota parlimen berkecuali terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan 2018. Kesemua anggota parlimen yang berkecuali itu adalah daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Hujah Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang bahawa “Keputusan PAS berkecuali bermakna ada yang PAS sokong dan ada yang PAS bangkang. PAS sokong perbelanjaan yang bermanfaat kepada rakyat seperti mendirikan sekolah, hospital, BRIM, biasiswa, bantuan kepada petani, nelayan. PAS membantah 1MDB yang tidak selesai hingga kini, masalah Felda, GST yang menyusahkan rakyat miskin, Tol, ketirisan, projek tidak sampai kepada sasaran, diskriminasi, kroni.”
Ann Macfarlane (www.jurassicparliament.com), seorang profesional bertauliah mengenai tatacara parlimen menjelaskan bahawa sebenarnya sistem parlimen hanya ada dua jenis undian sahaja iaitu undi untuk menyokong atau undi untuk membangkang. Tiada apa yang disifatkan sebagai undian berkecuali (abstain from a vote) melainkan ahli parlimen itu tidak mengundi langsung dan hanya berdiam diri semasa undian. Oleh itu, perumpamaan seorang ahli parlimen yang hanya duduk-duduk di dalam Parlimen seperti sebuah ‘pasu bunga’ adalah agak tepat.
Persoalan sekarang adalah apakah kesannya jika seorang ahli parlimen itu hanya ‘mempasubungakan’ dirinya semasa undian belah bahagi dibuat. Kata Ann Macfarlane, ada tiga kesan yang boleh disimpulkan daripada tindakan seorang ahli parlimen yang ‘mempasubungakan’ dirinya dalam keadaan demikian.
Pertamanya, kadang-kalanya tindakan berkecuali itu boleh membawa kesan memberikan sokongan kepada golongan majoriti. Contohnya dapat kita lihat dalam kes 12 ahli lembaga pengarah syarikat yang dikehendaki untuk mengundi bagi menamatkan jawatan seorang ketua pegawai eksekutif yang gagal untuk menjalankan tugasannya dengan baik.
Katakan 6 daripada mereka telah mengundi untuk membuangnya dan 5 lagi pula menentangnya. Manakala seorang lagi ahli lembaga pengarah tahu bahawa ketua pegawai eksekutif berkenaan gagal untuk menjalankan tugasannya tetapi disebabkan pengarah urusan itu adalah teman karibnya maka dia telah memilih untuk berkecuali dengan tidak membuat sebarang undian. Maka hasil undian itu akan menunjukkan 6 menyokong, 5 membantah dan seorang pula tidak mengundi (berkecuali). Akhirnya, ketua pegawai eksekutif itu tetap akan dibuang kerana undian majoriti menyokong pembuangannya. Katakan seorang yang berkecuali itu mengundi untuk menentang pembuangan maka tentulah undian akan menjadi seri dan ketua pegawai eksekutif itu akan terselamat daripada dibuang.
Keduanya, kadang-kalanya, tindakan berkecuali itu akan memberikan kesan untuk mengalahkan kedudukan majoriti. Contohnya, sebuah badan pengurusan bersama (JMB) yang mempunyai 7 orang ahli sedang mempertimbangkan untuk meluluskan satu undang-undang kecil bagi kondominium yang mereka diami. 3 orang menyokong, 2 membantah dan 2 orang berkecuali dengan tidak mengundi. Peraturan pula menyatakan bahawa sesuatu undang-undang hanya boleh diluluskan dengan undi majoriti. Dalam kes ini, hanya 5 yang mengundi dan meskipun jumlah yang menyokong adalah majoriti berbanding yang menentang dengan nisbah 3:2, namun disebabkan 2 lagi tidak mengundi maka undang-undang kecil itu gagal diluluskan. Ini kerana pada hakikatnya hanya 3 yang menyokong berbanding dengan 4 yang tidak menyokong.
Ketiganya, kadang-kala sikap berkecuali ini tidak mendatangkan apa-apa akibat. Katakan sebuah majlis perbandaran mempunyai 21 orang ahli. Majlis perbandaran itu bercadang untuk membuat suatu undang-undang baru. Semasa undian dibuat, 15 menyokong, 5 menentang dan seorang berkecuali. Dalam hal ini, sikap berkecuali itu tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kerana ianya tidak akan mempengaruhi keputusan undian itu. Namun, harus diingat juga bahawa tindakan berkecuali itu menunjukkan ahli itu redha dengan undang-undang baru itu.
Justeru, di manakah kedudukan PAS sekarang? Melihat kepada huraian di atas maka tidak syak lagi PAS berada dalam kategori pertama kerana dengan tidak mengundi (berkecuali) dan ‘mempasubungakan’ diri maka akan menjadikan jumlah undian yang menyokong lebih tinggi daripada yang membantah. Ini juga menunjukkan bahawa apa yang dihujahkan oleh Ustaz Idris Ahmad itu silap, tidak tepat dan menyimpang daripada kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang mampu mengurus kewangan dengan lebih baik.
PAS tidak berani untuk memilih jalan ke kanan atau ke kiri. PAS hanya mampu berhenti di persimpangan lampu trafik dan tidak bergerak-gerak kerana mereka berpendapat pergi ke kanan pun ada mudarat, ke kiri pun ada mudarat. Jadi kesudahannya mereka yang berhenti di lampu trafik ini akhirnya akan kehabisan minyak dan menyebabkan kereta tersadai mati di persimpangan!
Mungkin ada yang mengatakan bahawa PAS itu berada dalam kategori ketiga kerana tanpa undian PAS pun bajet tersebut akan lulus juga. Namun, ini bukanlah sebab PAS tidak mengundi. Hakikatnya, PAS tidak mengundi (berkecuali) dan ‘mempasubungakan’ diri dengan alasan PAS merasakan bahawa bukan semua perkara dalam bajet itu patut ditolak dan ada yang patut diterima.
Buktinya, Ustaz Idris berkata, “Jikalau Ahli Parlimen PAS tolak bajet, tiba-tiba sewaktu bahas kita minta kerajaan berikan projek sekolah, hospital, jalan raya dan lain-lain lagi. Bukankah ini satu kepelikan, tolak tetapi minta projek? PAS ada sikap yang tersendiri. RUU 355 PAS sokong kerana manfaat kepada ummah. Walaupun Pakatan Harapan menolak. RUU 364 (sepatutnya 164 dan bukan 364), PAS lawan walau pun dibawa oleh kerajaan.”
Anehnya, bukankah PAS dahulu hanya menolak sebahagian kecil seksyen yang terkandung dalam RUU 164 tetapi kenapakah PAS menolak kesemua RUU 164 tersebut. Kenapakah PAS tidak mengambil pendirian untuk berkecuali juga?
Undian belah bahagi ini adalah untuk menentukan sikap semua parti. Bayangkan jika pengundi juga menggunakan sikap berkecuali seperti ini dengan tidak pergi keluar mengundi atau merosakkan kertas undi semata-mata kerana pengundi tersebut menyatakan bahawa bukan semua apa yang dibuat oleh kerajaan BN ini tidak baik dan bukan semua yang pembangkang buat itu baik. Apakah akan jadi dengan sistem pilihan raya dalam negara ini kelak?
Sepatutnya PAS melihat kepada bajet ini secara keseluruhannya dan tentukan sikap parti sama ada dapat bersetuju atau membantah bajet ini. Ustaz Idris mengatakan sikap PH itu pelik tetapi sebenarnya sikap PAS itu yang pelik kerana sikap sedemikian tidak mencerminkan kematangan seorang ahli parlimen. Seorang ahli parlimen perlu tegas sama ada menerima atau tidak menerima apa yang dicadangkan oleh kerajaan.
Ironinya, yang mencadangkan undi belah bahagi ini adalah Ahli Parlimen PAS dari Parlimen Pokok Sena iaitu Dato’ Mahfuz Omar sendiri. Bagaimana pula Ustaz Idris Ahmad dapat memberikan justifikasi terhadap sikap yang begitu kontras antara beliau dengan Datuk Mahfuz Omar yang kedua-duanya mewakili parti PAS.
Jelas sekali, sikap PAS yang berkecuali itu mengundang rasa senang BN terhadap PAS. Buktinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri dalam BN secara terbuka dalam laman twitternya telah mengucapkan terima kasih kepada PAS. Justeru, pengundi hendaklah membuat pilihan yang bijak dalam PRU 14 untuk tidak lagi mengundi parti “pasu bunga”.
 Malaysia Dateline.

No comments:

Post a Comment