Tuan Hj Baharuddin Kassim (SETIAUSAHA ARiF NASIONAL) Bersama Team ARiF Pulau Pinang , Team ARiF Kelatan Dan Pemuda Pakatan Harapan Kelantan Beri Bantuan Awal Kepada Mangsa Banjir Di Pulau Seratus, Dun Pasir Pekan. Tumpat
Team Bantuan Banjir Perlu Menaiki Bot Selama 15 Minit Dari Jeti Kampung Sungai Buloh Untuk Menyampaikan Bantuan Kepada 35 Keluarga Mangsa Banjir Di Pulau Seratus.#BanjirKelantan2017
30 November 2017 || Khamis
Anugerah Brandlaureate Zambry: Fakta atau auta?
ULASAN : Pada malam gala Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama Negara BrandLaureate 2017 yang dianjurkan oleh Yayasan Jenama Asia Pasifik pada 28 Ogos 2017 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur dianggarkan lebih 500 orang jemputan yang hadir.
Dikatakan anugerah BrandLaureate ini mengiktiraf pemimpin yang dalam kelasnya tersendiri dan mereka yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara serta masyarakat terutamanya dalam anugerah ‘Game Changer Icon’.
Dalam majlis yang gilang gemilang tersebut telah diumumkan penerima anugerah ini adalah Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir dan beliau merupakan satu-satunya tokoh dari kalangan para menteri besar yang diberikan penghargaan melalui pemilihan ini.
Pada malam yang sama Datuk Seri Zambry telah memuat naik status di dalam laman sosialnya di Facebook dan Twitter, mengucapkan terima kasih atas anugerah yang diberikan dan menghadiahkan penerimaan anugerah tersebut kepada rakyat Negeri Perak khasnya.
Ramai dikalangan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan anak syarikat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta kepimpinan Umno Negeri Perak hadir melihat kepada gambar-gambar yang tersebar di media sosial.
Sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Perak pada 30 Ogos 2017, Datuk Seri Zambry menjelaskan tentang anugerah yang diterima dan menganggap pengiktirafan sebagai bukti pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri yang baik dan mantap.
Namun melalui carian di dalam Google, apabila ditaip ‘BrandLaureate 2017’ terutamanya di dalam laman sesawang Media Massa khususnya pada awal tarikh anugerah tersebut kebanyakkannya hanya melaporkan tentang penganugerahan kepada penyanyi Dayang Nurfaizah sahaja.
Tidak langsung menyentuh kepada anugerah-anugerah yang lain termasuk anugerah yang diterima Datuk Seri Zambry, disini terdapat sedikit kehairanan bagaimana media melihat kepentingan penganugerahan yang diberikan itu.
Kegembiraan itu juga sedikit tersentak apabila Pengerusi AMANAH Negeri Perak, Asmuni Awi semasa sidang medianya pada 11 Oktober 2017 meminta penjelasan tentang anugerah yang diterima oleh Datuk Seri Zambry tersebut sama ada ianya berbayar atau tidak?
Dalam sidang media tersebut, Asmuni memberikan tempoh seminggu kepada Datuk Seri Zambry dan pihak-pihak yang terlibat untuk memberikan penjelasan terhadap pendedahan tersebut adakah terdapat bayaran dibuat kepada BrandLaureate?
Selepas tempoh seminggu yang diberikan kepada Datuk Seri Zambry sudah berakhir, Akhbar Sinar Harian pada 18 Oktober 2017 melaporkan telah menghubungi Asmuni untuk mendapatkan komen selanjutnya daripada beliau.
Dalam komen ringkasnya seperti yang dilaporkan media bahawa Asmuni bersedia mendedahkan bukti tersebut bagi mempertahankan pendedahannya sebelum ini bahawa bayaran telah dibuat kepada BrandLaureate.
Tanggal 24 Oktober 2017, Asmuni sekali lagi mengadakan sidang medianya dan telah menunjukkan satu salinan baucer resit bayaran daripada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Negeri Perak sebanyak RM 381,113.86 kepada BrandLaureate.
Hari yang sama pada sebelah malamnya, BrandLaureate telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menolak dakwaan Asmuni bahawa anugerah tersebut boleh dibeli atau dibayar dan mendesak agar memohon maaf atas dakwaan tersebut.
Semasa program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Manjung pada 25 Oktober 2017, selepas Majlis pra pelancaran 100 Tahun Beruas Datuk Seri Zambry di dalam sidang media di Padang Awam Pekan Beruas akhirnya mengulas isu ini setelah hampir 15 hari mendiamkan diri.
Semasa memberikan ucapan di Padang Awam Pekan Beruas tersebut, Datuk Seri Zambry berkata “…dia punya sakit hati, dia buat kenyataan, dia kata saya bayar, depa tak puas hati,… hari-hari kerja aku dok menjawab segala fitnah, segala ceritanya”.
Selepas majlis tersebut diadakan satu sidang media bersama Datuk Seri Zambry bagi menjelaskan beberapa isu berbangkit termasuk isu anugerah BrandLaureate yang media menunggu respon daripada Datuk Seri Zambry.
Laman sesawang Barisan Nasional (BN) Negeri Perak terdapat rakaman video sidang media tersebut berdurasi 1 minit 34 saat, dalam minit ke 1 minit 10 saat apabila media membuat persoalan balas “mereka ada resit”, Datuk Seri Zambry telah menjawab “…program yang dianjurkan itu biasalah…sape nak beli meja tu…meja ni..merata”.
Ulasan Datuk Seri Zambry hanya berkisar “biarlah BrandLaureate yang jawab, dia kata BrandLaureate dibayar” dan tidak habis di situ sahaja, pada esoknya di Pulau Pangkor pula 26 Oktober 2017 sekali lagi Datuk Seri Zambry tekankan isu ini di sana lagi.
Sidang media Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak pada 28 Oktober 2017 telah mengumumkan bahawa akan membawa isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meminta agar ianya disiasat.
Manakala semasa Ceramah Himpunan Rakyat di Buntong pada malam 29 Oktober 2017, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin turut membawa isu ini dan menjelaskan sekali lagi bahawa akan membawa isu ini kepada SPRM.
Atas tanggungjawab dan amanah rakyat, Asmuni telah membuat laporan berkaitan isu ini kepada SPRM Negeri Perak pada 1 November 2017, beliau telah menyerahkan bukti berkaitan dan memberikan keterangan selama lebih kurang sejam 30 minit kepada pegawai penyiasat SPRM.
Sekitar jam 12.00 tengahari selepas memberikan keterangan kepada SPRM, Asmuni membuat sidang media dan melontarkan dua perkara penting kepada SPRM iaitu adakah wujud salah guna kuasa atau berlaku perlanggaran akta syarikat di dalam isu ini.
Untuk rekod, Asmuni adalah seorang peguam yang cukup berpengalaman dan beliau pernah berkhidmat sebagai Pendakwa Raya Badan Pencegahan Rasuah Malaysia (BPR) satu ketika dahulu.
Tidak sampai sejam sidang media Asmuni di hadapan bangunan SPRM Perak, Datuk Seri Zambry selepas Mesyuarat Mingguan Exco Perak mengulas tindakan Asmuni dan berkata “tidak cukup dengan tuduhan fitnah… dan dia kata saya bayar…”.
Pertama kalinya sepanjang sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Perak, Exco-exco lainnya berdiri dibelakang Datuk Seri Zambry sebagai ‘bukti’ sokongan kepada beliau yang belum pernah berlaku selama ini dan hanya berlaku pada sidang media tersebut.
Semasa mengendalikan kes saman Datuk Seri Nizar terhadap Razman Zakaria, Asmuni telah menerima sepucuk surat daripada BrandLaureate pada 10 November 2017 dan beliau menjelaskan bahawa bersedia menjawab kembali surat tersebut secara rasmi.
Ceramah DAP pada 16 November 2017, Nga Kor Ming di dalam ucapannya juga telah membawa isu ini dan turut memaklumkan akan membawanya di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak semasa Perbentangan Bajet 2018 nanti.
Oleh kerana isu yang sama diulas oleh Nga Kor Ming di dalam ceramahnya itu dan tiba-tiba viral satu suntingan video yang dikatakan beliau mencarut, berpusu-pusu BN dan sekutunya membuat laporan Polis tetapi agak pelik dalam kes anugerah BrandLaureate tiada sebarang laporan Polis dibuat terhadap Asmuni yang didakwa memfitnah Datuk Seri Zambry.
Bajet 2018 Negeri Perak telah bersidang bermula pada 21 hingga 27 November 2017 baru-baru ini, bukan sahaja ‘panas’ di luar tetapi ‘panas’ juga di dalam Dun Perak selama lima hari tersebut dan ianya seperti yang telah dijangka.
Selepas dibentangkan Bajet 2018 Perak, sidang media PH Perak sekali lagi membangkitkan isu ini dan menunjukkan replika tropi serta salinan resit baucer bayaran MB Inc sebelum bermulanya esok perbahasan bajet oleh Datuk Seri Nizar pada 22 November 2017.
Semasa berbahas isu ini, Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berperanan besar untuk ‘menganggu’ Datuk Seri Nizar beberapa kali termasuk kedengaran ‘suara-suara sumbang’ daripada Datuk Seri Zambry.
Isu ‘panas’ ini di bawa di dalam perbahasan bajet kerana ianya berkaitan agensi anak syarikat berkaitan kerajaan negeri dan sudah tentulah ianya berkaitan dana awam dan wang rakyat yang memerlukan perjelasan yang jujur daripada pihak kerajaan negeri.
Pada sebelah petang hari yang sama selepas perbahasan Datuk Seri Nizar, Datuk Zahir telah mengadakan sidang media khas menjawab segala persoalan Datuk Seri Nizar di dalam Dewan khasnya berkaitan isu MB Inc termasuk isu anugerah Brandlaureate dan berkata jika ditunjukkan resit baucer tersebut pihaknya akan membuat laporan Polis kerana ianya dianggap palsu.
Sekali lagi ugutan untuk membuat laporan Polis dibuat sekiranya resit baucer didedahkan sedangkan sebelum ini pada 24 Oktober 2017 Asmuni dalam sidang medianya telahpun menunjukkannya kepada media dan begitu juga semasa sidang media PH selepas Perbentangan Bajet pada 21 November 2017 juga telah menunjukkan salinan resit baucer bayaran tersebut, terdapat persoalan pelik disini kenapa tiada laporan Polis dibuat?
Pada keesokkannya apabila berita tentang kenyataan Datuk Zahir dilaporkan dalam media cetak dan media baru, melalui laman sosial Facebook Tan Sri Vincent Lee turut telah mengulasnya dan menganggapnya sebagai satu kejutan tentang anugerah BrandLaureate yang tidak pernah didengarnya sebelum ini.
Tan Sri Vincent Lee adalah seorang Ahli Perniagaan yang berjaya dan baru-baru ini telah Menandatangani Perjanjian Hak Penajaan Liga Malaysia di antara Football Malaysia LLP (FMLLP) dan Ampersand Sports bagi Bolasepak Liga Malaysia Tahun 2018.
Hanya seorang Adun BN sahaja yang mengulas isu ini iaitu Adun Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie yang membayangkan tidak mungkin Menteri Besar membayar untuk mendapatkan anugerah tersebut seperti didakwa.
Adakah semua Adun BN khasnya telah dijelaskan keadaan sebenarnya isu ini dan adakah Datuk Seri Zambry serta MB Inc jujur menceritakan keadaan sebenarnya sama ada benar atau tidak aliran kewangan yang digunakan atas apa sahaja tujuan daripada MB Inc?
Pada 24 November 2017, giliran Exco Kerajaan Negeri menjawab dan sudah tentulah Datuk Zahir akan membawa isu MB Inc dengan panjang lebar ulasannya tetapi akhirnya tiada pula isu anugerah BrandLaureate ini dijawab seolah-olah ingin ‘menutup’ isu ini.
Penggulungan bersambung pada 27 November 2017 dengan Datuk Saarani Mohamad, Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Tampan akhirnya menyentuh isu ini dan hanya berkata diakhir ucapannya “biarlah SPRM siasat”.
Menjadi satu sejarah sidang Dun apabila terdapat dua orang Exco Kerajaan Negeri terpaksa menjawab satu entiti yang dipengerusikan oleh Menteri Besar manakala Menteri Besar langsung tidak menjawab sebarang tuduhan atau fitnah yang dikatakannya sendiri tetapi mengambil sikap mendiamkan diri sahaja.
Isu ini mudah difahami kerana yang telah diberikan anugerah tersebut adalah Datuk Seri Zambry selaku Menteri Besar dan juga Pengerusi MB Inc., manakala MB Inc pula adalah pihak yang dikatakan membuat bayaran tersebut kepada BrandLaureate.
MB Inc adalah agensi anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Perak, sudah tentu aliran kewangannya adalah dana awam atau wang rakyat dan cara perbelanjaannya mestilah telus untuk tujuan rakyat Perak khususnya dan sudah tentu ianya mesti diteliti oleh Dun sendiri.
Semua ini tidak berlaku jika sejak dari awalnya Datuk Seri Zambry dan MB Inc menafikannya dan mengambil tindakan Undang-undang terhadap pihak yang membuat pendedahan dan menjawab tuduhan kepada mereka.
Sedangkan hak itu berada di pihak mereka tetapi pelik ianya diserahkan kepada BrandLaureate sahaja, kenapakah Datuk Seri Zambry dan MB Inc tidak menjelaskan isu sebenar seperti ingin menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan umum.
Oleh kerana BrandLaureate yang akan ‘dikambing hitamkan’, bersediakah juga Datuk Seri Zambry dan MB inc untuk naik ke Mahkamah jika BrandLaureate bertindak mengambil tindakan Undang-undang terhadap Asmuni nanti?
Adakah lebih banyak perkara yang akan terbongkar nanti? Sama-sama kita nantikan episod seterusnya.
#Penulis adalah Setiausaha AMANAH Negeri Perak
Malaysia Dateline
No comments:
Post a Comment