‘Jho Low sambut tahun baru 2013 di dua negara pada malam sama’
Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan rombongannya meraikan sambutan tahun baru 2013 sebanyak dua kali - di Sydney dan kemudiannya di Las Vegas - lapor akhbar The Australian hari ini.
Memetik laporan yang pertama kali diterbitkan oleh laman web Sarawak Report berhubung catatan di media sosial mengenai sambutan itu, The Australian berkata "gambaran yang diberikan mengenai pesta mereka adalah cukup mewah, termasuk cip perjudian bernilai sekurang-kurangnya AS$700,000 di sebuah bilik VIP - Sovereign Room - di kasino The Star di Sydney.
"Antara 15 artis dan pelakon yang menghiburkan mereka, menurut liputan ketika itu, ialah pelakon Gossip Girl Chace Crawford, Glee Matthew Morrison, jejaka Arrow, Colton Haynes, dan DJ Samantha Ronson, yang terkenal semasa itu sebagai teman wanita Lindsay Lohan.
"Tetapi apa yang tidak diketahui media Australia ialah parti mewah itu dibiayai oleh Low," kata laporan berkenaan.
Akhbar itu kemudian merujuk kemas kini di Instagram oleh sekutu Low, yang tertera: "Hanya JL (Jho Low) boleh lakukan ini untuk dua sambutan tahun baru 2013. Cara yang baik untuk membazirkan satu juta dolar."
Menurut laporan itu, selepas nyalaan bunga api pada tengah malam di Sydney, rombongan Low kemudian bergegas ke Lapangan Terbang Canberra dan mereka menaiki sebuah pesawat udara Boeing 747 yang dipercayai disewa khas daripada pengendali AS, Atlas Air, menuju ke Vegas.
Bintang Hollywood, Jamie Foxx, antara yang hadir di pesta itu, dilaporkan memberitahu mengenai pesta mewah itu semasa satu wawancara TV mengenai sambutan tahun baru berkembar tersebut, dua minggu kemudian.
"Saya ada kawan, dia mempunyai wang, dia terbangkan saya, Leonardo DiCaprio, Jonah Hill dan beberapa lain - kami terbang ke Australia. Kami sambut di Australia, kemudian menaiki pesawat dan sambut sekali lagi di Vegas. Ini gila," katanya dipetik memberitahu pengacara TV British, Jonathan Ross dalam satu temu bual.
The Australia cuba menghubungi kasino The Star untuk mendapatkan komen mengenai pesta perjudian kumpulan itu, tetapi jurucakapnya enggan mengulas.
Menurut laporan itu lagi, Low dipercayai membahagikan masanya antara di kapal layar mewahnya, Equanimity dan Peninsula Hotel di Shanghai, China, kerana takut akan kesannya jika dia kembali ke Malaysia.
malaysiakini.
No comments:
Post a Comment