BERITA MENARIK YANG TIDAK MENARIK
Ada dua berita menarik pada hari ini - satu, 1MDB dilaporkan sudah menyelesaikan hutangnya berjumlah AS$630 juta kepada IPIC dan kedua, sebuah menara baru di TRX sudah pun menghampiri ketinggian KLCC yang selama ini menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Dengan pembayaran hutang itu yang dikatakan melalui premium yang dibayar oleh syarikat China kepada hartanah yang dimiliki 1MDB di Pulau Indah Selangor dan Air Itam, Pulau Pinang, bermakna lenyap dan lupuslah sudah wang yang dibayar kepada syarikat Aabar palsu sebelum ini.
Selain tiada apa-apa lagi yang boleh diungkit berkenaan wang yang dimasukkan kepada syarikat Aabar palsu yang daripadanya itu tercetus skandal 1MDB, pembayaran yang dilakukan oleh syarikat China itu juga memungkinkan penguasaan negara itu dalam skala yang lebih besar di pelbagai prospek ekonomi selepas ini.
Jadi, walaupun 1MDB berjaya menyelesaikan hutang keseluruhannya berjumlah AS$1.2 bilion atau RM4,890 juta kepada IPIC, ia juga adalah berita sedih buat kita semua kerana ia seperti menghalalkan kehilangan wang secara salah bayar kepada Aabar palsu.
Berkenaan menara baru di TRX, tanah yang dimiliki 1MDB, bangunan 106 tingkat itu kini sudah menghampiri ketinggian Menara Berkembar Petronas atau KLCC.
Menara dengan ketinggian 492.3 meter itu sekarang sudah mencapai ketinggian 450 meter selepas 19 bulan pembinaannya dan semakin menghampiri dengan ketinggian Menara KLCC yang tingginya 452 meter.
Dalam sehari dua ini, pastilah ia mampu melepasi ketinggian KLCC. Cuma, Menara KLCC berkembar dua, manakala bangunan di TRX hanya satu saja.
Bagi pentaksub 1MDB, mungkin ada yang berbangga dengan terbinanya bangunan pencakar langit yang dinamakan Exchange 106 itu, lebih-lebih lagi ia dibina di atas tapak TRX yang pernah menjadi isu sebelum ini.
Tetapi, harus diingat bangunan tersebut adalah milik Mulia Group dari Indonesia dan bukannya kepunyaan syarikat Malaysia.
Jadi, di mana kita harus berbangga dengan bangunan tertinggi itu?
Maka, kedua-dua berita itu - pembayaran hutang AS$630 juta oleh 1MDB kepada IPIC dan wujudnya menara baru yang tertinggi di negara ini yang menggantikan KLCC - langsung tidak menarik dalam erti kata sebenarnya, walaupun sekali baca seperti berita besar bunyinya. (ShahbudinHusin 21/12/2017)
No comments:
Post a Comment