2018, tahun sukar untuk pencari kerja
Pertumbuhan ekonomi yang tinggi tidak menggambarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk pekerja tempatan kerana situasi kini cenderung kepada automasi dan digitisasi yang bermakna syarikat hanya memerlukan jumlah pekerja yang kecil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2018.
PENCARI kerja akan berdepan cabaran pada tahun 2018, jangka sebuah kumpulan majikan, ketika peluang pekerjaan baru terhad malah berlakunya pembuangan pekerja walaupun ekonomi dijangka bertambah baik.
Gambaran yang tidak memuaskan itu dipacu oleh peningkatan kos operasi disebabkan pengenalan skim Sistem Insurans Pekerja (EIS) dan dasar baru levi pekerja asing, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Hampir 50,000 pembuangan pekerja dijangka berlaku tahun ini, kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan.
Katanya, graduan lepas kolej dan universiti yang akan memasuki pasaran kerja tahun ini perlu mempertimbangkan beberapa panduan:
* Bersedia menunggu lebih lama untuk mendapat pekerjaan. Malah graduan perubatan juga perlu menunggu selama sembilan bulan bagi penempatanhousemanship.
*Sedia beradaptasi. Ambil sahaja apa yang ditawarkan, walaupun pekerjaan itu bukan dalam bidang pengajian anda.
*Terbuka dalam menerima pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan universiti anda, misalnya bekerja di jawatan tahap diploma walaupun mempunyai ijazah.
Majikan akan berdepan kos operasi yang tinggi disebabkan EIS memerlukan mereka menyumbang 0.2% daripada gaji asas pekerja ke dalam gaji masa depan pekerja antara tiga hingga enam bulan sekiranya pekerja itu dibuang.
Levi pekerja asing pula akan memerlukan majikan membayar levi pekerja berbanding sebelum ini yang dibayar pekerja.
Walaupun begitu, pencari kerja dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai peluang lebih besar. Mereka mungkin mendapat lebih banyak peluang kerana levi pekerja asing ini, kata Shamsuddin.
Levi itu yang dikenakan pada kadar berbeza untuk sektor berlainan boleh menambah tarikan menggaji pekerja tempatan.
“Tetapi persoalannya sekarang adalah sama ada pekerja tempatan mahukan pekerjaan ini,” kata Shamsuddin memandangkan hakikat yang kebanyakan pekerjaan ini adalah jawatan kemahiran rendah dalam industri pengeluaran dan perkhidmatan.
Hampir 100,000 peluang pekerjaan juga akan tersedia kerana kumpulan pertama pekerja yang wajib bersara pada usia 60 tahun dijangka meninggalkan pekerjaan mereka pada Jun depan.
Bagaimanapun, dengan peningkatan kos operasi, syarikat mungkin memilih untuk tidak menggantikan pesara tersebut, Shamsuddin memberikan amaran. Wujud petanda yang mereka sebaliknya akan lebih memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti.
“Pasaran kerja akan menjadi lebih mencabar tahun depan kerana majikan cuba bertahan dalam peningkatan kos pengurusan perniagaan,” kata Shamsuddin kepada The Malaysian Insight.
“Jumlah dan jenis jawatan untuk pekerja baru akan kekal sama pada 2018 seperti mana pada 2017 dan 2016.”
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata pasaran kerja akan menjadi lebih mencabar tahun depan kerana majikan cuba bertahan dalam peningkatan kos pengurusan perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2018.
Kehilangan pekerjaan
MEF mempunyai 22 ahli persatuan dan ini termasuklah majikan dalam sektor perlombongan, hotel dan perbankan. Ketiga-tiga sektor ini menggaji lebih satu pertiga daripada 6.4 juta pekerja dalam sektor swasta negara.
Sejak tiga tahun lepas, majikan dan pencari kerja berdepan situasi sukar. Dalam laporan lepas, Shamsuddin mengatakan pada 2015, hampir 44,000 orang hilang pekerjaan.
Pada 2016 sahaja, hampir 40,000 pekerja dibuang antara Januari sehingga September.
Hampir 30,700 pekerja dibuang kerja setakat September 2017, kata Shamsuddin.
Perdana Menteri Najib Razak menjangkakan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 5% kepada 5.5% pada 2018 disebabkan peningkatan eksport dan permintaan domestik.
Jangkaan ini lebih tinggi berbanding jangkaan pertumbuhan daripada 5.2% kepada 5.7% pada 2017 dan meningkat berbanding hanya 4.2% pada 2016.
Pentadbiran Najib juga dengan bangga mengatakan yang Program Transformasi Ekonomi (ETP) sudah menambah 2.2 juta pekerjaan antara 2011 hingga 2015.
Kehilangan pekerjaan bukan sahaja disebabkan ekonomi global yang lemah memaksa syarikat mengecilkan operasi disebabkan permintaan yang lemah.
Begitu juga, pertumbuhan tinggi tidak menggambarkan lebih banyak pekerjaan untuk pekerja tempatan, kata Shamsuddin, kerana situasi kini cenderung kepada automasi dan digitisasi yang bermakna syarikat hanya memerlukan jumlah pekerja yang kecil.
Dalam sektor perbankan, Shamsuddin mengatakan tumpuan banyak diberikan kepada perbankan mudah alih dan dalam talian bermakna lebih banyak operasi akan dikendalikan oleh kecerdasan buatan.
Disebabkan itu, bank secara kolektifnya mengurangkan lebih 18,000 pekerjaan pada 2015, katanya.
“Ini juga berlaku dalam industri insurans. Mereka mengatakan ada robot (digital) yang boleh melakukan kerja 10 orang. Jadi, ia mengurangkan pekerjaan yang tersedia.”
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming juga mengatakan walaupun 2.2 juta pekerjaan baru dibentuk antara 2011 sehingga 2015, jumlah pekerjaan kemahiran tinggi untuk graduan universiti sebenarnya semakin berkurangan.
Antara 2006 hingga 2010, 587,000 pekerjaan berkemahiran tinggi baru dibentuk, kata Ong. Tetapi daripada 2011 hingga 2015, jumlah itu jatuh kepada 501,000.
Shamsuddin berkata gesaan kerajaan supaya syarikat melakukan lebih banyak digitisasi, robotik dan automasi mengikut Industri 4.0 juga menyebabkan kekurangan pekerjaaan.
“Bagi setiap lima pekerjaan yang selalunya diisi lelaki, dalam Industri 4.0 hanya tiga pekerjaan baru akan dibentuk,” katanya.
“Bagi setiap empat pekerjaan yang selalunya diisi wanita, hanya dua pekerjaan baru akan dibentuk. Ini adalah trend.” – 1 Januari, 2018.
Graduan lepas kolej dan universiti yang akan memasuki pasaran kerja tahun ini perlu mempertimbangkan beberapa perkara seperti bersedia menunggu lebih lama untuk mendapat pekerjaan dan sedia beradaptasi dengan menerima apa sahaja yang ditawarkan, walaupun pekerjaan itu bukan dalam bidang pengajian anda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2018.
No comments:
Post a Comment