APA PUN PENYUDAHNYA, ISU TANAH FELDA TETAP UNTUNGKAN TUN M DAN PAKATAN HARAPAN
Semua pihak kini ternanti-nanti apakah kesudahannya berhubung isu tanah Felda yang dikatakan telah berpindah milik ke tangan pihak lain setelah Najib Razak mengarahkan siasatan serta-merta dan kemudian pihak polis menubuhkan pasukan petugas khas berkenaan dengannya.
Apakah bekas Pengerusi Felda, Isa Samad akan ditahan sekali lagi setelah dalam kes pembelian hotel di London dahulu beliau sudah pun direman selama lima hari oleh SPRM?
Selain Isa Samad, adakah pegawai-pegawai tinggi Felda turut akan ditahan dan direman?
Bagaimana dengan pemilik syarikat yang memindahkan tanah Felda itu menjadi miliknya, apakah beliau pun akan ditahan sama?
Dalam sekian banyak perbualan, sama ada dengan mereka yang berada dalam UMNO atau Pakatan Harapan, rata-ratanya percaya bahawa Isa Samad akan ditahan sekali lagi dalam kes ini.
Kata mereka, Isa Samad akan ditahan bukan saja untuk menunjukkan Ahli Parlimen Jempol itu yang bersalah, sesuai dengan kecenderungan yang ditunjukkan oleh Pengerusi Felda, Shahrir Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga agensi tersebut, Razali Ibrahim dalam sidang akhbar mereka baru-baru ini, malah untuk menunjukkan UMNO dan kerajaan pimpinan Najib benar-benar serius dalam menangani rasuah serta penyelewengan.
Langkah itu dikatakan perlu untuk Najib menghadapi PRU 14 akan datang di sebalik timbunan isu dan skandal lain yang berkaitan diri, keluarga dan kepimpinnanya selama ini.
Dalam erti kata lain, penahanan Isa semata-mata sebagai "kambing hitam" menjelang PRU 14 dan kesnya selepas itu tentu saja bergantung kepada sama ada BN kekal berkuasa lagi atau sebaliknya.
Jika dengan dikambing-hitamkan itu mampu membuatkan Najib, UMNO dan BN mengekalkan kuasanya, kebarangkalian Isa dibebaskan selepas itu adalah tinggi.
Tetapi, ia akan membuatkan imej Isa sudah pun dikotori serta tidak mampu dipulihkan lagi.
Bagaimanapun, risiko yang menanti Isa akan menjadi lebih besar jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN kerana kerajaan baru nanti pasti akan bersungguh-sungguh memastikan kes itu berjaya sehingga ke peringkat sabitan hukuman.
Dalam hal ini, menahan dan seterusnya mendakwa Isa, meskipun dilihat mampu melonjakkan nama Najib, tetapi ia juga boleh jadi akan menjadi senjata yang memakan diri kepada UMNO dan BN, malah mungkin memangsakan Isa.
Ini kerana Isa adalah kawan rapat Najib, beliau juga dilantik oleh Najib, Felda sendiri terletak di bawah jagaan Najib dan penahanan atau pendakwaan kepada Isa akan secara langsung mengaitkan nama Najib sama.
Tidak mungkin Najib tidak tahu langsung apa yang berlaku dalam Felda?
Dalam konteks yang bertentangan pula, apakah Isa hanya akan menyerah saja apabila sedar dirinya akan "dikambing-hitamkan" oleh Najib, UMNO dan BN?
Mungkinkah Isa akan melawan dengan mendedahkan pelbagai isu dan campurtangan lain yang melibatkan Najib atau Seri Perdana dalam pelbagai urusan dalam Felda?
Burung-burung yang berkicau sudah pun mula memberi khabar bahawa isu tanah ini bukanlah letupan terakhir apa yang disebut sebagai skandal yang meletus dalam Felda, malah dikatakan ada beberapa kes lagi mungkin akan terdedah selepas ini.
Sediakah Najib menghadapi segala kemungkinan itu?
Berdasarkan hakikat itu, tidak mustahil isu tanah Felda ini akhirnya akan senyap begitu saja kerana kebimbangan Najib terhadap kesan lebih besar akan menimpanya dalam pilihanraya nanti.
Apa pun, oleh kerana Felda ini terkait secara langsung dengan Najib, sama ada menahan dan mendakwa Isa atau menjadikan kes tanah itu senyap begitu saja, ia tetap merugikan UMNO dan BN.
Menahan dan mendakwa Isa akan menyerlahkan lagi hakikat busuknya wajah kepimpinan UMNO dan BN selama ini, di sebalik timbunan kebusukan lain yang cuba disembunyikan dan diberi pelbagai semburan pewangi.
Sudah tentu jika faktor itu yang menjadi sebab rakyat menolak UMNO dan BN, yang paling terkesan ialah "kepala bapaknya" iaitu Najib sendiri.
Sementara melepas dan tiada apa-apa tindakan diambil terhadap Isa, setelah UMNO sendiri yang menghebohkannya, tanggapan ramai adalah Najib hanya cuba bermain wayang dengannya.
Apa pun sudahnya kes tanah Felda ini, yang untung akhirnya ialah Tun Mahathir yang mahu menumbangkan Najib dan Pakatan Harapan yang bakal menggantikan BN selepas pilihanraya nanti.
Sama ada Isa kena atau tak kena, sokongan pengundi kepada BN pasti akan merosot dengan teruknya.
Mungkinkah semua ini merupakan petunjuk Tuhan yang menandakan akan berakhirnya pemerintahan UMNO dan BN? (ShahbudinHusin 27/12/2017).
No comments:
Post a Comment