'Kenyataan Hadi mengenai calon PM untuk hiburkan Najib'
Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa menamakan bakal perdana menteri bercanggah dengan adab Islam adalah kenyataan songsang dan mundur ke belakang, kata Pengarah Syariah Parti Amanah Negara (AMANAH), Zolkharnain Abidin.
Beliau berkata kenyataan itu bertujuan "menghiburkan" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta memberi nafas kepada Umno dalam suasana bahang Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin dekat.
"Najib tentu senang hati sekali dengan kenyataan Abdul Hadi itu, seolah-olah hanya dia yang layak kekal sebagai PM, dan kedudukan dia sebagai PM menepati adab Islam kerana menamakan orang lain sebagai penggantinya bercanggah dengan adab Islam," kata Zolkharnain.
Menulis di Facebooknya Zolkharnain berkata sejarah Islam sendiri mencatatkan bahawa khalifah Abu Bakar menamakan Umar sebagai pengganti.
"Bahkan menurut ulama sirah, nabi sendiri secara tidak langsung menamakan Abu Bakar sebagai penganti apabila Abu Bakar diminta mengimami orang ramai ketika baginda gering," jelasnya.
Terdahulu Abdul Hadi menyelar tindakan sesetengah parti yang lebih mengutamakan calon perdana menteri dan pembentukan kabinet bayangan jika menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Hadi berkata tindakan itu bercanggah dengan adab yang dibawa Rasulullah SAW.
"Maka, PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal perdana menteri, yang bakal menjadi bangkai sahaja.
"Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya, lantas Baginda SAW bersabda: 'Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya'," kata presiden PAS dalam satu kenyataan.
Hadis dirujuk Hadi
Membidas pandangan itu Zolkharnain memetik pandangan pensyarah fekah dan usul fikah, Dr Rozaimi Ramle semalam yang mengatakan hadis Bani Amir yang dijadikan hujah Abdul Hadi tidak merujuk isu menamakan bakal pemimpin utama atau perdana menteri.
"Hadis itu berkaitan soal meminta jawatan. Bahkan status kesahihan hadis itu juga dalam perhatian para pengkaji hadis.
"Jika meminta jawatan dalam situasi khusus dibenarkan oleh agama dan tidak dianggap bercanggah dengan adab Islam, takkanlah menamakan bakal PM untuk Malaysia bercanggah pula," kata Zolkharnain.
Bahkan beliau berkata tindakan menamakan bakal PM adalah perkara biasa dalam realiti politik dan pentadbiran negara pada hari ini.
"Dalam situasi tertentu, ia diperlukan untuk memudahkan pengundi menentukan keputusan parti mana yang akan dipilih untuk menerajui kerajaan," katanya.
Menurut Zolkharnain sekiranya PAS tidak mahu menamakan bakal PM daripada parti itu atau IKATAN, Abdul Hadi tidak sepatutnya menghukum tindakan pihak lain bercanggah dengan adab Islam.
"Jika dikata bercanggah dengan adab Islam, yang mana satu adab Islam yang dicanggahi? Amalan itu bukan khianat, bukan tipu, bukan manipulasi, tetapi ia adalah bukti komitmen pihak yang menamakannya untuk berkhidmat sedaya mungkin kepada rakyat.
"Kedudukan sebagai parti berlabel Islam tidak bermakna hanya apa yang PAS buat saja yang menepati Islam," tambahnya.
malaysiakini
No comments:
Post a Comment