Posted by ali allah ditta - Tumpang sekole.
Posted by ali allah ditta-Tumpang sekole.
SAMPAI MASANYA PENEROKA FELDA PERLU BERANI BERUBAH
Menurut beberapa kenalan di tanah rancangan Felda, isu tergadainya tanah milik agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang didedahkan baru-baru ini telah menjadi perbualan hangat di kalangan penghuninya.
Mereka bukan saja memperkatakannya di kedai-kedai kopi atau dalam perbualan sesama sendiri, malah bagi yang memiliki telefon pintar turut berpeluang menatap pelbagai berita dan video lain berkenaan perkara itu.
Secara mudahnya, rata-rata berasa marah, kecewa dan sakit hati dengan apa yang berlaku itu. Ramai peneroka merasakan titik peluh mereka langsung tidak dihargai lantaran satu demi satu episod duka berlaku dalam Felda yang secara tidak langsung merugikan mereka.
Meskipun dikhabarkan usaha sedang dilakukan untuk mengembalikan semula tanah tersebut kepada dakapan Felda, ramai yang percaya kalau pun berjaya dilakukan, ia tentulah tidak percuma. Mahu tidak mahu, kerugian dana Felda tetap akan berlaku juga akhirnya.
Namun demikian, dalam menerima pelbagai catatan duka itu, apakah sikap dan pendirian peneroka Felda sebenarnya?
Apakah perasaan marah, kecewa dan sakit hati itu akan berkekalan sehingga ke peti undi atau segera hilang apabila datang pujuk rayu yang disertai sedikit buah tangan seperti tahun-tahun dahulu?
Undi peneroka Felda menjadi penentu kepada 54 daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara. Daripada jumlah itu, hanya empat atau lima kawasan yang berjaya ditembusi oleh pihak lawan.
Bermakna, sebagaimana pentingnya Sabah dan Sarawak yang dikatakan sebagai simpanan tetap kepada kelangsungan hayat politik BN, kedudukan peneroka Felda juga tidak kurang mustahaknya.
Tanpa sokongan peneroka Felda yang kekal setia sejak dulu, barangkali sudah lama UMNO dan BN kehilangan kuasanya serta tinggal sejarah semata-mata.
Meskipun setia sepanjang masa, kesetiaan peneroka itu tidak dibalas dengan sewajarnya oleh UMNO dan BN. Madu yang diberi, racun yang sering dijadikan balasan.
Sejak 2003 hinggalah sekarang apabila Felda diletakkan dibawah jagaan Najib, satu demi satu episod duka, kerugian dan kehilangan wang berlaku dalam agensi itu.
Penyenaraian FGV, pembelian pelbagai hartanah dan hotel di dalam serta luar negara, pengambilalihan syarikat, menjadi lubuk orang-orang politik membuat wang dan terbaru tanahnya berpindah tangan kepada sebuah syarikat swasta, semua itu adalah antara rentetan duka yang berlaku dalam Felda sehingga tabungan yang dulunya dikatakan berjumlah hampir RM7 bilion, tetapi kini dikatakan hanya tinggal kira-kira RM200 juta saja lagi.
Kenapakah semua ini hanya berlaku ketika Felda berada di bawah jagaan Najib dan tidak pada waktu-waktu sebelumnya?
Jika dulu Felda berada di bawah sebuah kementerian, tetapi kini dengan diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri sejak 2003, ikut logiknya agensi itu tentulah lebih berkembang, lebih untung dan lebih banyak simpanan dalam tabungannya.
Hairannya, makin berada di bawah naungan TPM dan kini PM, makin rugi, makin kelam-kabut dan makin banyak wang serta harta miliknya yang lesap.
Lantaran itu, apa yang berlaku dalam kes tanah Felda di Jalan Semarak ini harus dilihat dalam konteks yang lebih luas oleh para peneroka.
Ia bukan lagi harus dilihat sebagai salah Isa Samad, Shahrir Samad, Lembaga Pengarah, Pengarah Besar, CEO, sipolan itu atau sipolan ini, tetapi lebih merupakan salah Najib, UMNO dan BN.
Semua yang berkedudukan dan diberikan jawatan, adalah sama ada melalui kehendak Najib atau restu beliau yang diperolehinya melalui kuasa UMNO dan BN yang antara penyumbang kemenangan itu ialah peneroka sendiri.
Segala kemelut dan skandal yang berterusan dan silih berganti berlaku dalam Felda adalah kerana peneroka menjadi kelompok yang terlalu akur dan setia kepada UMNO dan BN.
Selagi begitu sikap mereka, selagi itulah mereka hanya menjadi bahan mainan semata-mata.
Dengan itu, peneroka harus berani berubah. Jangan biarkan maruah dipersetankan dengan sebegitu mudah. Episod malang Felda dan harapan ia kembali menjadi institusi unggul kebanggaan masyarakat hanya dapat dicapai jika peneroka sedia berubah dan tidak lagi akur serta setia kepada UMNO dan BN sebagaimana sikap yang ditunjukkan selama ini.
Lihat saja kelompok lain, pengundi bukan Melayu atau mereka di Sabah dan Sarawak misalnya, semakin berani mereka menunjukkan kecenderungan ke arah perubahan, makin banyak nikmat dan keberuntungan yang diperolehi, jauh sekali untuk dipermain-main serta dibuli. (ShahbudinHusin 26/12/2017)
No comments:
Post a Comment