Pages

Tuesday, 5 December 2017

[Video Siapa sasaran PAU kali ini, Anwar atau Tun Mahathir? Razak Baginda gesa Umno puji Tun Mahathir] APA PILIHAN NAJIB DALAM UCAPAN PAU 2017 Serang atau puji Tun Mahathir?

Selasa, 5 Disember 2017

Image result for Gambar Tangkap MO1

APA PILIHAN NAJIB DALAM UCAPAN PAU 2017 - SERANG ATAU PUJI TUN MAHATHIR?

Hari ini bermula Perhimpunan Agung UMNO atau PAU 2017. Ia adalah perhimpunan terakhir sebelum PRU 14 mesti diadakan dan boleh jadi perhimpunan kali yang terakhir sebelum kehilangan kuasa.

Untuk tahun depan, sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya dan Tun Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, UMNO akan berhimpun dalam keadaan sebagai pembangkang pula.

Sukar membayangkan wajah duka dan mencuka para perwakilannya ketika itu, meskipun lebih rama yang gembira dengannya.
Bagi mengelakkan kehilangan kuasa itu, PAU 2017 ini dianggap amat penting bagi UMNO dan Najib Razak. Ia akan dijadikan sebagai momentum menggegar semangat ahli-ahli UMNO sebelum pergi ke medan pertempuan PRU 14 yang akan menentukan hidup matinya parti assabiyah itu.

Musuh utama dan ketakutan Najib dalam pilihanraya akan datang tidak lain ialah Tun Mahathir. Beliau seolah-olah selalu mengigau dan bermimpi ngeri dikejar oleh bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, malah RCI forex diwujudkan pun untuk melemah dan mencalarkan wibawa Tun Mahathir.

Sebab itu, dalam banyak ucapan Najib kebelakangan ini, beliau sentiasa mahu menyebut dan menyindir Tun Mahathir serta membandingkan dirinya konon lebih baik daripada Pengerusi Pakatan Harapan tersebut.
Namun demikian, Najib masih agak kesipuan untuk menyebut nama Tun Mahathir secara terus-terang, mungkin kerana didorong rasa ketakutan yang keterlaluan telah menguasai dirinya. 

Selalunya beliau hanya menamakan sebagai "orang itu", "pemimpin yang pernah berkuasa 22 tahun", "pemimpin lama" dan beberapa ungkapan lain untuk memaksudkan kepada Tun Mahathir itu.

Dalam PAU 2017 ini, yang tentunya ditunggu-tunggu ialah ucapan perasmian Najib pada Khamis depan. Ucapan beliau adalah kunci yang akan membawa ke arah mana hala serta tujuan ahli-ahli UMNO dalam mendepani cabaran Tun Mahathir dalam pilihanraya akan datang.

Apakah Najib sekali lagi akan menyerang, membidas dan menyindir Tun Mahathir?
Apakah juga serangan, bidasan dan sindiran beliau kepada Tun Mahathir akan lebih keras dan bertahap maksima memandangkan PRU 14 yang akan menentukan hidup mati hayat politiknya tinggal beberapa bulan saja lagi?

Atau mungkinkah Najib akan berubah nada lembut meraih simpati agar beliau terus dikekalkan kuasa, meskipun dirinya berselirat dengan pelbagai isu dan masalah yang membebankan negara dan menyusahkan rakyat?

Jika diikut pandangan "punahsihat-punahsihat" dalam UMNO seperti Annuar Musa, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Nazri Aziz, Dr. Puad Zarkhasi dan lain-lain, sudah tentu mereka akan bersetuju perlunya serangan yang lebih keras dilakukan kepada Tun Mahathir.
Oleh kerana mereka itu telah sekian lama membelasah Tun Mahathir, maka sekiranya ucapan Najib dan intipati pembahas dalam PAU 2017 juga lebih menjurus ke arah itu, ia tentunya suatu kejayaan kepada kelantangan mereka selama ini.

Tetapi, bekas penasihat Najib yang pernah terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, Abdul Razak Baginda ada pandangan yang berbeza. Beliau menggesa agar perhimpunan kali ini dijadikan medan mengiktiraf sumbangan Tun Mahathir kepada negara.

Kata beliau, Tun Mahathir telah membangunkan Malaysia dan meletakkan nama negara di peta dunia dan adalah baik untuk melihat UMNO mengakui hakikat itu, sambil menasihatinya untuk terus memainkan peranan sebagai negarawan yang dihormati.

Terdapat juga pandangan lain, terutama daripada orang-orang lama dalam UMNO yang merasakan tindakan menyerang Tun Mahathir akan lebih merugikan Najib kerana ia akan menyebabkan rasa simpati rakyat terhadap bekas Perdana Menteri itu dan Pakatan Harapan yang diterajuinya.

Hujah mereka ialah jasa dan sumbangan Tun Mahathir terlalu besar untuk beliau dihina, diperlekeh dan diketepikan oleh UMNO yang ada sekarang yang pada asasnya adalah ditubuhkan olehnya juga.

Kata mereka, lagi Tun Mahathir dihina, diperlekeh dan digelar dengan macam-macam gelaran, yang seronok dan bertepuknya hanyalah perwakilan UMNO, tapi ahli bawahan serta rakyat biasa akan terhiris hati mereka.

Yang mana satu pilihan Najib agaknya? (ShahbudinHusin 05/12/2017)

No comments:

Post a Comment