Murid sekolah pegang bendera umno.
Ugut kakitangan kerajaan: Pemuda Umno Perlis perlu mohon maaf
Pemuda Umno Perlis perlu membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia kerana mereka tidak menghormati prinsip demokrasi berparlimen di tanah air tercinta.
Apa yang mereka tahu hanyalah berpolitik dengan mengagungkan presiden mereka yang memimpin Malaysia ke arah kemusnahan.
Demikian gesaan yang dibuat oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perlis dalam satu kenyataan semalam.
Gesaan tersebut dibuat menurut kenyataan itu, merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian pada 15 januari 2018 bertajuk ‘Pemuda Umno Perlis desak pecat kakitangan antikerajaan’ yang berkait rapat dengan satu laporan polis oleh Pemuda Umno dan Majlis Belia Perlis ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu didakwa bertindak berkongsi kandungan bersifat tomahan ke atas Perdana Menteri.
“Dalam siaran akhbar tersebut menyebut ‘Sehubungan itu, pemuda Umno mencadangan agar kerajaan mempermudahkan proses pemecatan kakitangan kerajaan yang antikerajaan’ dan frasa anti-kerajaan tersebut dilihat amat tidak demokratik.
“Pemuda PH Negeri Perlis tidak berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana penjawat awam yang bertentangan dengan undang-undang, peraturan atau Pekeliling Kerajaan namun kami tidak bersetuju jika frasa tersebut juga bermaksud menyekat kebebasan beraspirasi politik selain dari aspirasi kerajaan semasa.
“Kami yakin dan percaya, setiap penjawat awam yang berada di posisi mereka sekarang adalah kerana usaha mereka untuk berada di situ. Mereka layak untuk berada di situ atas kebolehan mereka, bukan dengan sokongan mereka kepada parti pemerintah,” kata Ketua Pemuda PH Perlis, Syazwan Fahmi.
Kata beliau, gesaan Pemuda Umno Perlis supaya memudahkan proses pemecatan kakitangan awam yang dikatakan anti-kerajaan sangat mendukacitakan.
Mungkin barangkali Pemuda Umno terlepas pandang bahawa fahaman politik seseorang kakitangan kerajaan bukanlah faktor utama kemerosotan imej dan kualiti sistem penyampaian kerajaan seperti dakwaan mereka, katanya.
“Pemuda Umno mungkin tidak ambil kisah atau mungkin tidak ambil peduli akan kenyataan Menteri Besar Perlis YAB DS Azlan Man menyentuh perihal kakitangan awam di Perlis sebagai “Ada di kalangan kakitangan yang malas bekerja, tidak komited menjalankan tugas, tidak memberi perhatian semasa bekerja, buang masa dan sibuk dengan urusan peribadi serta mengutamakan kerja lain”.
“Dan beliau juga menambah “beliau mendapat tahu terdapat pakar perunding swasta yang mengemukakan cadangan tertentu untuk membantu membangunkan Perlis, tetapi mereka kemudiannya merasa kecewa dengan kelemahan tugas kakitangan perkhidmatan awam negeri”.
“YAB DS Menteri Besar tidak langsung menyentuh aspirasi politik kakitangan awam sebagai faktor yang menyumbang kepada kegagalan penyampaian kerajaan,” tambah beliau.
Menurut Syazmi lagi, menyentuh bab peluang pekerjaan kepada golongan muda, Pemuda Umno seharusnya memajukan cadangan kepada kerajaan supaya tidak melanjutkan had usia persaraan supaya kakitangan kerajaan atau swasta yang sudah sampai had umur persaraan boleh bersara dan digantikan oleh mereka yang lebih muda, segar, komited dan energetik.
“Pemuda Umno Perlis juga sepatutnya membantu menyumbang idea supaya kerajaan negeri mampu untuk membawa lebih banyak pelaburan ke dalam negeri Perlis lantas dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memecat kakitangan kerajaan bukanlah penyelesaian kepada masaalah pengangguran anak muda,” katanya.
Kata beliau, Pemuda Pakatan Harapan Perlis bersetuju bahawa setiap kakitangan awam perlu mematuhi semua peraturan sebagai penjawat awam namun menolak sebarang usaha memecat mana-mana kakitangan yang tidak mendokong aspirasi partisan kerajaan semasa.
“Kami juga berpendapat Pemuda Umno Perlis tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran sesebuah jabatan kerajaan, tidak perlu mengajar mana-mana Pengarah Jabatan mahupun melibatkan diri dalam hal disiplin sesebuah jabatan kerajaan.
“Kami melihat cadangan agar kerajaan mempermudahkan proses pemecatan kakitangan kerajaan yang antikerajaan ini sebagai salah satu ugutan terhadap penjawat yang membunuh kebebasan bersuara.
“Kebebasan bersuara adalah satu daripada sembilan perkara yang dinyatakan di dalam Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan iaitu Kebebasan Asasi. Fasal (1) (a) Perkara 10 menyatakan ‘tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran’.
“Mana-mana undang-undang yang bercanggahan dengan perlembagaan Malaysia akan terbatal setakat mana yang bercanggah,” jelasnya.
MD.
No comments:
Post a Comment