Tun M akan aktif berkempen di Pekan, jihad terbesar pengundi jatuhkan Najib
Tidak menganggap wujudnya masalah besar untuk bertanding di sejumlah kerusi Parlimen yang ‘pekat’ Umno termasuk Pekan, Pqaarti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai pendekatan tertentu dalam menawan kawasan terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ketua Biro Strategi dan Dasarnya, Dr Rais Hussin berkata, partinya akan bekerja keras memenangi PRU-14 susulan keputusan pembahagian kerusi Parlimen antara komponen Pakatan Harapan baru-baru ini.
Menurutnya, terlalu awal untuk mana-mana pihak menjangkakan kekalahan PPBM sebagai parti pengganti Umno di kerusi-kerusi yang disandang parti pemerintah itu.
“PPBM ini sepatutnya menggantikan parti Umno. Kita fokus kepada kawasan-kawasan majoriti Melayu, Felda dan sebagainya.
“Kenapa fikir Pekan, kita tidak boleh menang? Saya mahu beritahu, Tun Mahathir dan pucuk pimpinan PPBM akan turun di Pekan kempen secara aktif. Kita kena berani berhadapan dengan parti ini (Umno).
“Saya harap rakyat di Pekan akan membuat satu jihad terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu menjatuhkan Najib. Bila dia (Najib) jatuh sekurang-kurangnya Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” tegasnya.
Bahkan, Dr Rais menyifatkan gelanggang PRU-14 bukan sekadar pertempuran antara Pakatan Harapan dengan BN tetapi sebenarnya merupakan tsunami seluruh rakyat Malaysia.
“Kita tidak mahu pilihan raya ini hanya Pakatan Harapan melawan BN. Kita mahu ini adalah pilihan raya di mana satu gelombang rakyat akan bangun menentang kezaliman dan kerakusan merompak BN,” ujarnya.
Dr Rais dalam forum anjuran Invoke Malaysia pada Selasa, turut mengingatkan situasi dan kesedaran politik masyarakat Melayu di luar bandar sudah berbeza berbanding dahulu.
“Sekarang, rakyat memang hidup susah. Kita lihat banyak kajian yang mendedahkan rakyat pada masa ini terbeban dengan kenaikan melambung kos hidup.
“Setiap minggu hari Rabu, orang akan fikir naik atau tidak harga minyak. Berapa banyak lagi kena belanja? Ini semua mendatangkan ketidaktentuan hidup rakyat.
“Perhatian paling utama rakyat adalah beban kos hidup. Kita mempunyai stategi tertentu untuk menyelesaikan isu kos sara hidup dan mereformasi institusi untuk memelihara rakyat bukannya menjaga Najib,” tempelaknya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan gerak kerja akar umbi adalah menyampaikan mesej Pakatan Harapan menggunakan pendekatan yang tidak sukar difahami segenap lapisan rakyat.
“Bila kita dapat menyampaikan hal ini secara yang mudah difahami rakyat, rakyat sekarang bukan macam dahulu. Dulu bolehlah bagi kain batik dan beras, semua okey,” sinisnya merujuk kepada kelaziman Umno memancing undi.
Sebaliknya, kata Dr Rais, rakyat termasuk pengundi di Felda dan pedalaman sudah celik dan tahu tentang isu kos sara hidup tidak terkecuali pengundi di Grik.
“Kalau dulu nak masuk kawasan Felda pun susah. Sekarang, Alhamdulillah. Keadaan sudah berbeza,” tambahnya lagi.
Turut hadir sebagai ahli panel diskusi Muafakat Harapan yang disiar secara langsung di Facebook Live itu ialah Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke serta Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya, Wong Chen.
Malaysia Dateline.
No comments:
Post a Comment