Baik secara tersurat atau tersirat, UMNO kini nyata semakin ketakutan dengan persetujuan Pakatan Harapan untuk mencalonkan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bagi gabungan pembangkang itu.
Tidak cukup dengan serangan setiap hari, perlekehan berterusan, krisis kononnya akan tercetus, jasa-jasanya membina negara diabaikan, malah ada pula segerombolan "mangkuk hayun" sanggup membuat laporan polis berkenaan Tun Mahathir atas dakwaan beliau dikatakan menghasut rakyat agar menjatuhkan Najib Razak.
Apa masalah dan salahnya bila Najib mahu dijatuhkan oleh lawan politiknya dengan cara yang sah dan melalui pilihanraya?
Bukankah jatuh-menjatuh adalah lumrah, malah itulah tujuan utama dalam berpolitik?
Jika menjatuhkan Najib dilihat sebagai suatu kesalahan dan seseorang itu sanggup memperbodohkan dirinya dengan membuat laporan polis, maka UMNO juga perlu berhenti daripada menjatuhkan Azmin Ali di Selangor dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang.
Mintalah Noh Omar, Jamal Md Yunos dan segala macam "mangkuk-mangkuk" yang lain, baik di Selangor atau Pulau Pinang, agar duduk diam-diam dan jangan lagi buat kacau di kedua-dua negeri itu.
Dengan Tun Mahathir akan dinamakan untuk menggantikan Najib yang dikenali sebagai "bapa segala skandal", UMNO kini semakin sedar bahawa sokongan rakyat pasti akan segera melimpah-limpah kepada Pakatan Harapan.
Tidak kira sama ada Tun Mahathir adalah Perdana Menteri interim atau untuk tempoh beberapa lama, keberadaannya langsung tidak ada cacat cela dari segi harapan rakyat kepada perubahan dan masa depan yang lebih baik.
Di ketika rakyat semakin bosan, meluat dan benci kepada Najib, siapakah yang tidak yakin dengan wibawa dan intergriti Tun Mahathir dalam membina negara, menyelesaikan banyak masalah dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat?
Meski sudah 93 tahun, tapi Tun Mahathir kekal cergas, fikirannya masih tajam dan strateginya tak terlawan oleh musuh-musuhnya. Memiliki pelbagai media dalam tangan, wang pula berbilion, ditambah dengan macam-macam kuasa yang ada, namun seluruh jentera UMNO dan BN serta dibantu oleh Pas, masih juga tercungap-cungap untuk menewaskannya.
Terbaru, hanya dengan memohon maaf dan mencuit mufti berkenaan Amanat Hadi Awang, habis kelam-kabut banyak pihak dan ada yang "terlanggar dinding" dibuatnya.
Akhirnya, bukan saja rakyat semakin sedar dengan penyelewengan Pas dalam menjual agama demi nikmat politik dan kuasa, malah berjaya mendedahkan perasaan cinta parti itu kepada Najib dengan mengatakan UMNO sekarang sudah berubah dan tidak lagi teruk macam dulu-dulu.
Apalah agaknya yang menutup pandangan Pas daripada hakikat yang terang lagi disuluh lampu "spotlight" bahawa Najib dan UMNO sekarang beribu-ribu kali lebih teruk dan buruk berbanding dahulu.
UMNO yang berubah atau Pas yang sudah mengubah dirinya?
Dengan keupayaan Tun Mahathir mengemudi Pakatan Harapan serta sedang menuju ke arah kemenangan, tiada siapa ragu-ragu bahawa bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu mampu memulihkan semula negara ini jika kuasa berada dalam tangannya.
Kepada yang bosan, benci dan meluat kepada Najib pula, hanya kepada Tun Mahathir saja keyakinan mereka kian berkembang bahawa segala skandal melibatkan Perdana Menteri dan Jho Low akan dapat diadili dan diberikan hukuman sewajarnya setelah beliau dijatuhkan dan tidak lagi berkuasa nanti.
Sebab itu, mereka makin takut dan kalau boleh dianjakkan lagi tarikh pilihanraya sehingga Tun Mahathir tiada, pasti itulah pilihannya. (ShahbudinHusin 03/01/2018)
No comments:
Post a Comment