Wanita pedalaman Sabah siap sedia cetus perubahan PRU14 – Jannie Lasimbang
Sokongan dan sambutan hangat kepada DAP daripada golongan wanita Sabah di pedalaman membuktikan parti ini semakin mendapat tempat di hati rakyat kata Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang.
Menurutnya, fenomena itu membuktikan bahawa golongan wanita semakin berani menyuarakan pendirian mereka sekaligus menjadi agen kepada perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
“Ini membuktikan bahawa kaum wanita, kaum ibu kini sudah berani dan bertekad untuk melakukan perubahan demi masa depan keluarga mereka serta anak cucu di Sabah,” katanya ketika melancarkan Jelajah Wanita DAP.
Jelajah selama lapan hari yang bermula pada 15 Januari lalu bermula di Parlimen Penampang itu antara lain memberi tumpuan kepada perbincangan anggota Wanita DAP Sabah mengenai strategi kempen 100 hari menjelang PRU14.
Jelajah itu juga turut menyampaikan tawaran Agenda Wanita Pakatan Harapan Negara yang dilancarkan baru-baru ini yang telah diadakan di empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Pedalaman pantai barat, Tawau dan Sandakan.
Program seumpama ini turut memberi peluang kepada ahli untuk beramah mesra dengan pemimpin, wakil-wakil komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) dan penduduk setempat.
“Kami turut berpeluang mengadakan satu sesi khas iaitu untuk membantu dan memberi peluang kaum ibu untuk meningkat ekonomi mereka di mana kami berkongsi dan menunjukkan cara cara membuat sabun dan pemprosesan makanan,” katanya yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan Sabah.
Selain Jannie, pemimpin Wanita DAP Sabah yang turut serta dalam siri jelajah ini ialah Setiausaha Wanita DAP Sabah, Clare Taunek; Biro Wanita Muda Pemuda Pakatan Harapan Sabah, Gracella Yong, Fadillah Michael, Stephanie Duanis dan anggota-anggota wanita DAP Sabah. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment