Tumpang sekole.
BN tak ada idea, lembap akal, tandus pemimpin muda
Antara sebab utama generasi muda tidak berminat dengan Barisan Nasional adalah kerana ketandusan idea, kelembapan pemikiran serta sikap jumud di kalangan kepimpinan parti-parti komponen BN.
Sebagai contoh, Chiong Sen How yang mewakili Jawatankuasa Pemuda Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, telah membuktikan bahawa jika ada pun segelintir orang muda menyertai BN, mereka sebenarnya tidak begitu bijak dalam memahami dan menangani isu politik semasa.
Chiong telah membidas pandangan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, yang meramalkan kekalahan BN dalam pilihanraya umum ke-14 nanti tetapi gagal mengemukakan hujah-hujah bernas. Yang dilakukannya adalah mengitar semula bahan-bahan propaganda yang dihasilkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Biro Tata Negara dan JASA serta cybertrooper BN.
Liew yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan telah mengemukakan hujah yang kukuh melalui tulisan serta video pendek yang menyatakan faktor kelemahan Perdana Menteri Najib Razak, pengundi bukan-Melayu dan masalah ekonomi sebagai tiga asas utama rakyat bakal menolak BN dalam PRU14.
Mahathir lawan Najib
Tanpa mengulas hujah Liew berhubung kelemahan Najib, Chiong sebaliknya menjadikan Dr Mahathir Mohamad sebagai sasaran. Alasannya ialah Mahathir sudah tua dan tidak layak memimpin. Mungkin kerana ada segelintir orang muda yang mudah lupa.
Dia lupa bahawa partinya sendiri Gerakan tidak banyak mencalonkan golongan muda pada PRU13 dan sebelum itu sedangkan ramai calon DAP serta Pakatan Rakyat (ketika itu) terdiri daripada golongan muda. Malah ada yang belum berusia 30 tahun pada 2013.
Chiong juga cuba bermain politik kotor dengan membawakan kisah-kisah lama permusuhan politik di antara Dr Mahathir dengan para pemimpin pembangkang. Ya, memang ia adalah hakikat sejarah. Tetapi Dr Mahathir sudah sedar serta telah meminta maaf atas kesalahan lalu. Pemimpin besar seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng sudi memaafkan beliau dan berjuang bersama. Kerjasama ini adalah untuk melawan kleptokrasi BN yang dipertahankan oleh Gerakan dan komponen-komponen Najib yang lain. Kerjasama ini adalah untuk membina semula Malaysia yang telah dirosakkan oleh BN yang mana Gerakan adalah parti komponennya.
Jika logik kurang cerdik daripada Chiong diterima – iaitu Dr Mahathir dahulu adalah musuh pembangkang – ini bererti Gerakan dan BN tidak boleh mengkritik atau menegur Dr Mahathir kerana Dr Mahathir dahulu adalah Perdana Menteri, Pengerusi BN serta Bos kepada Gerakan. Jadi siapa sebenarnya yang meludah ke langit? Oleh itu, Chiong dan Gerakan sepatutnya cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Jangan hentam keromo.
Pengundi bukan-Melayu
Panjang berjela-jela hujah Chiong tetapi apa yang dia mahu katakan hanyalah “saya yakin akan berlaku sekali lagi tsunami politik pada PRU-14 nanti bilamana undi masyarakat Cina akan kembali menyokong Barisan Nasional”. Biarlah, itu harapan peribadinya.
Tulisan dan video Liew serta beberapa tinjauan pendapat sebelum ini membuktikan pengundi bukan-Melayu masih belum bersedia untuk memberi undi kepada BN, khususnya apabila Najib gagal menangani masalah ekonomi yang berlaku akibat salah urus serta pelbagai skandal yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Masalah ekonomi ini sebenarnya menyusahkan 99% golongan marhaen yang terdiri daripada kaum Melayu dan bukan-Melayu. Pakatan Harapan telah bersiap sedia untuk memberi Tawaran Baru kepada rakyat jelata Malaysia tanpa mengira kaum. Untuk makluman Chiong, sebahagian pendekatan dan strategi asas kami telah awalnya dinyatakan dalam Bajet Alternatif 2018.
Najibnomics
Chiong sekadar menyalin dan menulis semula propaganda BN untuk mengulangi hal-hal yang didakwa sebagai kejayaan ekonomi Najib atau apa yang mereka gelar sebagai Najibnomics. Jika dia mengkaji tulisan-tulisan Liew sebelum pembentangan Bajet 2018 pada Oktober lalu, dia akan sedar ulasan yang terperinci telah pun dibuat oleh Liew tentang Najibnomics.
Rumusan Liew adalah:
“Kerajaan (BN) tidak lagi bersedia mendengar keluhan rakyat biasa Malaysia yang menderita akibat kesan pelaksanaan GST, kejatuhan nilai ringgit serta usaha pemotongan perbelanjaan kerajaan (memotong subsidi, peruntukan kesihatan, kebajikan dan pendidikan)…Najib tidak mempunyai dasar ekonomi yang serius selama sembilan tahun sebagai Menteri Kewangan dan lebih lapan tahun sebagai Perdana Menteri. Kerana akhirnya, kita semua tahu, Najibnomics bererti ‘Najib tiada dasar ekonomi’.”
Jika benar kerajaan BN yang dipertahankan oleh Gerakan adalah hebat mentadbir ekonomi, mengapa rakyat marah dan tidak puas hati dengan keadaan hidup masa kini?
Hakikat ini telahpun dikemukakan oleh Liew:
1. Kesan pelaksanaan GST, pemotongan perbelanjaan kerajaan yang menjejaskan kebajikan, kesihatan dan pendidikan (sementara Najib dan Rosmah dilihat hidup mewah dan sering melancong), serta kejatuhan nilai Ringgit yang merupakan masalah kritikal; namun tiada siapa di dalam kerajaan mahu mengaku wujudnya krisis yang senyap ini;
2. Kita berdepan dengan masalah ekonomi dwi-kelajuan, iaitu sektor tertentu berkembang pesat manakala sektor-sektor lain lembab. Ekonomi di sektor eksport berlangsung agak baik berikutan pemulihan global. Namun ekonomi di sektor domestik semakin merudum akibat krisis senyap pengurangan pendapatan-boleh guna yang sekaligus menjejaskan penggunaan. Sektor eksport mengurangkan pengambilan pekerja tempatan dan sebaliknya mengambil pekerja luar tidak berkemahiran, maka keuntungan yang dijana tidak memberi banyak manfaat tempatan. Kebanyakan sektor eksport Malaysia bergantung kepada pengimportan barangan dalam jumlah yang besar, yang menandakan nilai tambahan rendah dalam ekonomi negara;
3. Najib mahu bermegah-megah dengan kepandaian ekonominya, namun beliau tidak mempunyai penyelesaian kepada masalah-masalah ini selain membuat saranan semasa ucapannya dalam Belanjawan 2017 pada tahun 2016 agar graduan muda menjual nasi lemak, dan mereka yang tidak bekerja memandu Uber.
Najib juga tidak peduli bahawa:
a) Semakin ramai rakyat Malaysia bekerja dalam sektor bergaji rendah di Singapura;
b) Semakin ramai juga rakyat Malaysia bekerja secara haram di United Kingdom, Australia dan New Zealand.
c) Sementara mereka yang bekerja di Malaysia turut menderita akibat gaji rendah dan bekerja di bidang berasaskan kemahiran rendah (kurang daripada 30 peratus pekerja mempunyai kemahiran);
d) Ramai golongan muda menganggur; serta
e) Jumlah yang tinggi (35 peratus) ketua keluarga yang bekerja di sektor tidak formal.
Setakat ini, tiada pemimpin BN yang berani berdebat tentang masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat ini. Inilah hakikat sebenar ekonomi, sosial dan politik di negara ini yang mana semua kaum dan rakyat pelbagai agama menanggung derita.
Kesimpulan
Memanglah baik jika kita bertukar-tukar pandangan dalam isu pentadbiran dan ekonomi dengan pihak lawan termasuk pemimpin BN.
Tetapi apa yang mengecewakan adalah kenyataan Chiong tidak konstruktif dan semata-matanya berperanan sebagai jurucakap propaganda Najib yang tidak mempunyai idea dan fikiran. Sudah tentu golongan muda tidak akan menyokong BN yang gagal menghasilkan resonansi dengan suara hati generasi baru.
Rakyat Malaysia termasuk golongan muda akan memutuskan nasib negara dalam PRU14, sama ada sepuluh tahun lagi di bawah kerajaan kleptokrasi Najib atau permulaan baru dengan Tawaran Baru untuk Malaysia. – Roketkini.com
*Kwan Say Hong adalah Setiausaha Akhbar Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong
No comments:
Post a Comment