SPRM mesti siasat projek laluan basikal ‘maut’ di ibu kota
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menggesa supaya Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas projek pembahagi jalan laluan basikal oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menelan belanja RM666,666.67 bagi setiap satu kilometer.
Menurutnya, DBKL telah membelanjakan sebanyak RM4 juta bagi projek sejauh enam kilometer melibatkan pemasangan pembahagi jalan dan kerja-kerja mengecat dengan warna biru.
Selain kos yang tinggi, Lip Eng berkata pemasangan pembahagi jalan tersebut katanya telah membahayakan keselamatan pemandu motosikal.
“Telah menular di portal-portal berita tentang pembahagi jalan yang telah dipasang di lorong basikal sepanjang 6km di tengah-tengah ibu kota membahayakan nyawa ribuan penunggang motosikal.
“Sekurang-kurangnya seorang penunggang motosikal dilaporkan telah terbabas dan cedera akibat pembahagi getah berstandard antarabangsa itu.
“Pembahagi itu telah pun ditanggalkan selepas hanya dua hari dipasang, ekoran aduan bertalu-talu di media sosial dan juga di akhbar-akhbar,” kata Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu.
DBKL juga didesak untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai jumlah tambahan dana awam yang terpaksa dibelanjakan untuk menanggalkan pembahagi tersebut.
“Sebagai satu amalan urustadbir yang baik, DBKL patut mendedahkan siapa yang membuat keputusan untuk menggunakan pembahagi terbabit, dan adakah individu tersebut telah diambil tindakan bagi ideanya yang mengarut, berbahaya, mahal dan membazir ini?
“Persoalan bernilai RM4 juta sekarang juga ialah, adakah projek laluan basikal sejauh 6km ini dijalankan secara tender terbuka?” soalnya.
Tanpa meminggirkan kepentingan menggunakan kenderaan mesra alam dan aktiviti berbasikal, Lip Eng berkata ia perlulah sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia.
“Mana ada orang yang boleh tahan bermandi peluh berbasikal di ibu kota untuk pergi ke tempat kerja dan mesyuarat.
“Tambahan pula, ibu kota sudah ketandusan pohon-pohon yang rendang mahupun tempat berteduh akibat pembangunan melampau,” katanya.
Isu keselamatan juga adalah satu lagi faktor utama yang tidak menggalakkan orang ramai berbasikal dengan aman tenteram di Kuala Lumpur akibat sistem lalu lintas yang ‘serabut’.
“Pihak berkuasa sepatutnya menumpukan usaha untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai aktiviti riadah utama, daripada menjadikannya sebagai pilihan pengangkutan utama untuk pergi ke tempat kerja.
“Dana awam tidak boleh lagi dibazirkan untuk idea yang tidak praktikal dan bersifat utopia ini,” katanya lagi. -Roketkini.com
No comments:
Post a Comment