Demi masa depan ku..apa saja lakonan akan ku lakukan untuk mengisi perutku.
APA JADI JIKA KLEPTOKRAT MENANG LAGI?
PRU 14 akan datang yang bakal diadakan pada bila-bila masa daripada sekarang, bukan saja penting, tetapi juga seharusnya paling menakutkan bagi kita semua.
Di mata kasar, pertembungan yang bakal berlaku adalah antara PH dan BN, antara Tun Mahathir Mohamad dan Najib Razak, namun realiti sebenar ialah pertarungan antara reformasi dan kleptokrasi.
Sementara PH menjanjikan pelbagai pembaharuan seperti tempoh Perdana Menteri memegang jawatan, perubahan dalam proses perlantikan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Speaker Parlimen dan banyak yang lain lagi, UMNO dan BN sebaliknya masih dengan "style lama" suka menabur wang, menghulur kampit-kampit beras, kupon ayam sambil menakut-nakutkan rakyat berkaitan kaum serta agama.
Janji-janji pembangunan dengan serta merta lebih rancak di curah di sana-sini. Sesetengahnya hanya tinggal janji saja, dua kali pilihanraya lagi pun tetap tidak dilaksana.
Lebih daripada itu, meskipun semua orang tahu jalan-jalan di Sarawak masih banyak yang daif dan perlu dipertingkatkan, mereka kini sudah pun dijanjikan puladengan LRT untuk menggelikan telinga pengundi yang mendengarnya.
Perlakuan itu tidak saja membayangkan ketakutan kepada kekalahan, malah juga menimbulkan kebimbangan apakah jika menang nanti, GST akan naik lagi, akaun bank peribadi makin berisi dan hutang negara jadi lebih meninggi?
Tun Mahathir yang sudah bersara, tetapi sedia kembali aktif untuk menyelamatkan negara, selain dilihat komited dengan agenda reformasi, bahkan juga disahkan oleh Anwar Ibrahim bukanlah seperti Mugabe sebagaimana yang digembar-gemburkan.
Sebaliknya, Najib disahkan oleh DOJ Amerika sebagai mentadbir negara ini secara kleptokrasi melalui skandal 1MDB yang sebahagian wangnya telah dicuri, dijoli dan didakwa menyelinap ke akaun peribadi.
Dalam keadaan ini, kita tentu saja gembira jika PH berjaya menjadi kerajaan kerana bersamanya akan hadir pelbagai reformasi yang membawa kebaikan dan mampu menyelamatkan banyak wang negara.
Tetapi, bagaimana jika kleptokrat menang lagi?
Apa jadi kepada negara, rakyat, anak-anak kita dan generasi seterusnya?
GST, cukai baru, hutang negara, pengangguran, ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan macam-macam lagi - apakah ia kian menekan dan menghimpit kita semua?
Dalam masa yang sama, mungkinkah keluarga dan kroni kleptokrat akan bertambah kaya serta mewah dengan harta di serata pelusuk dunia?
Pernahkah kita memikirkannya atau seratus dua yang dihulur, sekampit beras dan sekeping kupon ayam sudah melekakan kita dengan lima tahun mendatang yang bakal lebih sengsara? (ShahbudinHusin 12/02/2018)
No comments:
Post a Comment