Lautan manusia di himpunan Jelajah Harapan di Bachok
Program Jelajah Harapan peringkat negeri Kelantan di Bachok malam tadi menyaksikan lautan manusia berhimpun untuk bersama pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Mahathir Mohamad.
“Kalau Najib lihat himpunan ini dia tak lena tidur sepuluh tahun,” kata Tun Mahathir berseloroh di sambut laungan bergemuruh “hidup Tun”.
Majlis itu diadakan di perkarangan pejabat AMANAH kawasan Bachok yang terletak kira-kira 200 meter dari pejabat tanah dan jajahan.
Dataran yang lebih besar dari saiz dua padang bola itu penuh sesak dengan orang ramai yang mula memasuki kawasan itu sejak selepas solat maghrib.
Tun Mahathir berucap di program Jelajah Harapan Kelantan
Tempat ceramah itu yang boleh dimasuki dari empat jalan utama di penuhi di kiri kanan jalan dengan orang ramai sejauh sekitar 1 kilometer.
Pengarah jentera pilihan raya PH Kelantan Datuk Sazmi Miah memberitahu seorang anggota polis menganggarkan kehadiran seramai 15,000 orang.
“Bagi saya kehadiran malam ini tiga kali ganda angka itu,” kata seorang pengunjung, Nasir Ismail, 53 yang ditemui selepas ceramah berakhir.
Mohamad Sabu berucap mewakili AMANAH.
Tun Mahathir sendiri yang begitu teruja dengan jumlah kehadiran yang luar biasa itu berkata inilah kehadiran terbesar yang pernah beliau saksikan sepanjang siri Jelajah Harapan.
“Saya dapati orang ramai memenuhi kiri kanan jalan sambil duduk atas motosikal.
“Jadi saya ingat sudah sampai ke tempat ceramah.
“Rupanya perjalanan untuk sampai ke sini masih sangat jauh,” katanya.
Orang ramai bersesak-sesak sepanjang 1km di atas jalan raya.
Tun juga menyindir masih ramai yang duduk dalam gelap dan enggan menghampiri tempat ceramah.
“Saya tahu ini orang Pas dan Umno yang takut-takut tetapi mahu dengar ceramah saya,” katanya.
Turut berucap di majlis itu ialah presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan-timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu.
Pengerusi PH Kelantan Husam Musa menyampaikan ucapan aluan manakala Naib Pengerusi DAP kebangsaan Tengku Zulpuri Tengku Puji berucap mewakili pimpinan tertinggi parti itu.
HIshamudin Rais mewakili NGO Bersih turut mengambil peluang berkempen menolak penipuan pilihan raya oleh kerajaan Najib.
Program Jelajah Harapan yang bermula dengan acara-acara sebelah pagi menyaksikan pemimpin-pemimpin utama PH melalui jadual ketat sepanjang hari.
Di sebelah pagi, Muhyiddin Yassin menyertai satu sessi khas bersama jentera pilihanraya PH Kelantan di pejabat PPBM negeri.
Presiden PH Wan Azizah pula melancarkan Hari Wanita Antarabangsa di dewan banquet Tunjong yang dianjurkan wanita PH Kelantan.
Timbalan presiden PH Mohamad Sabu pula merasmikan pelancaran manifesto PH bersama-sama jentera penerangan semua parti anggota di Wisma Tok Guru, Salor.
Tun Mahathir sendiri yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari terus bergegas menghadiri program bersama NGO yang diadakan di dataran harapan U Presto Tanah Merah.
Muhyiddin dan Husam di Kg Sadoi, Tawang
Kesemua pimpinan utama PH kemudian mengadakan pertemuan khas pada jam 3 petang di sebuah urban resort dengan pimpinan PH negeri di Kota Bharu.
Untuk acara petang, Wan Azizah dan Mohamad Sabu menyertai acara santai beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga di pasar Gok Kapur, jalan PCB, Kota Bharu.
Di Taman Selera Jalan Kebun Sultan pula, Tengku Zulpuri menyertai program dialog dan ramah mesra dengan masyarakat Cina yang turut dihadiri pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Wan Azizah di sidang media selepas melancarkan Hari Wanita Antarabangsa di Tunjong banquet
Sementara itu Tan Sri Muhyiddin bersama-sama dengan masyarakat kampung Sadoi, Tawang.
Penduduk kampung menumbangkan seekor lembu untuk menyambut kedatangan beliau.
Kampung Sadoi yang dulunya kubu kuat Pas menyaksikan perubahan apabila tiga cawangan AMANAH ditubuhkan sempena majlis itu.
Naib presiden AMANAH Husam Musa menerima borang ahli dan permohonan penubuhan cawangan daripada Abdullah Yusuf dalam majlis itu.
MD.
No comments:
Post a Comment