JHO LOW BELI KAPAL MEWAH EQUANIMITY GUNA DUIT CURI 1MDB - INI BUKAN BERITA PALSU, OKAY!!!
Jabatan Kehakiman AS atau DOJ mengulangi pendiriannya bahawa bilionaire kontroversi, Jho Low membeli kapal mewah Equanimity berharga hampir RM1,000 juta adalah dengan menggunakan "dana yang dicuri dan diselewengkan" daripada 1MDB.
"Memang, seperti dakwaan sepanjang aduan, Jho Low adalah dalang utama yang mencuri berbilion ringgit wang 1MDB," kata DOJ dalam pemfailannya di mahkamah di California Tengah, semalam.
Pemfailan itu adalah sebahagian daripada usaha DOJ untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya melantik kerajaan Amerika Syarikat sebagai penjaga kepada kapal Equanimity yang dirampas itu.
Sebelum ini, kapal tersebut dirampas oleh FBI dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia di perairan Bali.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak menjelaskan, berita yang bersumberkan DOJ berkaitan 1MDB tidak akan dikategorikan sebagai berita palsu.
"Anda boleh petik mereka (apa yang DOJ kata), berdasarkan laporan itu, ia tidak tergolong sebagai berita palsu," kata beliau.
DOJ sebelum ini mengatakan sebanyak AS$4.5 bilion wang 1MDB telah dicuri dan diselewengkan, kemudian digubah secara haram melalui pelbagai sistem kewangan antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat.
Jabatan ini kini sedang berusaha merampas AS$1.7 bilion daripada jumlah AS$4.5 bilion yang dicuri itu yang telah digunakan untuk membeli pelbagai aset seperti kediaman mewah, jet peribadi, kapal layar, lukisan mahal, barang kemas dan macam-macam lagi.
Bertepatan dengan jaminan Salleh Said Keruak itu, maka melapor, menulis, dan menghebahkan kenyataan DOJ bahawa Jho mencuri dan menyelewengkan dana 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion bukanlah menjadi kesalahan kerana ia tidak tergolong dalam kategori berita palsu.
Begitu juga dengan melapor, menulis dan menghebahkan pemfailan DOJ kepada mahkamah semalam bahawa kapal mewah Equanimity telah dibeli oleh Jho Low dengan menggunakan dana yang "dicuri dan diselewengkan" daripada 1MDB, turut bukan merupakan berita palsu.
Pokoknya, berdasarkan dapatan DOJ, memang keyakinan mereka ialah wang 1MDB telah "dicuri dan diselewengkan", dengan dalang utamanya adalah Jho Low.
Maka, sekali lagi, kita bebas untuk mengatakan bahawa berdasarkan DOJ, sebanyak AS$4.5 bilion dana 1MDB telah "dicuri dan diselewengkan" oleh Jho Low, termasuk untuk membeli kapal mewah Equanimity berharga RM1,000 juta yang dirampas, baru-baru ini.
Ia bukan berita palsu, okay!!!
Kalau tak percaya, tanyalah Salleh Said Keruak? (ShahbudinHusin 27/03/2018)
No comments:
Post a Comment