Sia-sia merungut jika tidak mengundi
Teras paling utama dalam sistem demokrasi ialah rakyat. Abraham Lincoln mengekspresikan demokrasi sebagai pembentukan sebuah kerajaan rakyat, dari rakyat, untuk rakyat. Sheikh Yusuf al-Qaradawi pula menyikapi demokrasi sebagai sebuah sistem yang berfungsi demi menjaga kepentingan umum (maslahah ammah) mengatasi kepentingan individu.
Dalam konteks Malaysia, kedua-dua definisi ini terpakai, namun definisi al-Qaradawi lebih dekat dan tepat dalam menggambarkan sikap kita terhadap demokrasi. Kerana, konsep kepentingan umum bukan semata-mata meraikan pandangan majoriti dan menafikan secara mutlak pandangan minoriti.
Sebaliknya, keputusan yang dibuat dalam rangka kebebasan bersuara adalah keputusan yang memberikan manfaat yang bersifat mapan dan berpanjangan. Inilah semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dizahirkan dalam peruntukan-peruntukan berkaitan kebebasan asasi, pembangunan dan pengurusan negara.
Oleh yang demikian, perkara yang mesti diberikan perhatian oleh rakyat Malaysia demi menunjukkan rasa penghargaan dan hormat kepada demokrasi yang telah kita bina bersama seawal Pilihan Raya Umum Pertama Persekutuan 1955, ialah kesedaran bahawa rakyatlah; kitalah, yang mengisi serta menjayakan demokrasi ini.
Kesimpulannya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia; tua dan muda, bandar dan luar bandar; pro dan kontra parti politik, untuk turun mengundi. Kerana mengundi bukan semata-mata mengundi parti politik, lebih daripada itu ialah mengundi manifesto terbaik untuk masa depan negara.
Maka, sekiranya kita tidak turun mengundi dan terlibat dalam proses pilihan raya, kita hilang kelayakan untuk merungut terhadap polisi dan dasar kerajaan yang dipilih laksanakan. Ini adalah kerana, memandangkan kita sudah memilih untuk terlibat dari awal, maka tidak ada sebab untuk kita terlibat dalam proses yang seterusnya.
Turun mengundi demi hak anda, demi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat kepada negara, demi memilih masa depan Malaysia yang lebih baik dan terjamin. Melalui instrumen demokrasi inilah rakyat harus tampil dan menzahirkan hasrat yang paling dalam demi Malaysia. Hasrat untuk membangun Malaysia yang lebih terkehadapan dalam pelbagai sektor; ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kehakiman dan keadilan sosial yang menyeluruh.
* Penulis adalah Exco Penerangan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
No comments:
Post a Comment