Najib ‘berhidung Pinocchio’ muncul di akhbar Thailand
Gambar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini muncul di akhbar di Thailand.
Menerusi akhbar Inggeris Thailand, The Nation hari ini, Najib digambarkan seperti watak “Pinocchio” - kanak -kanak ‘kayu’ - yang hidungnya bertambah panjang setiap kali dirinya berbohong.
Kartun itu dilakarkan oleh Stephff, yang memaparkan Najib berpakaian baju Melayu tradisional sedang menghayunkan kapak ke arah hidungnya sendiri yang telah menjadi sebatang pokok yang mempunyai tiga dahan.
Dahan itu mewakili “rasuah”, “skandal 1MDB” dan “skandal kapal selam Scorpene”.
Kartun itu juga memuatkan sebatang pen “kebebasan media” yang tercalar dan sebatang pensel yang tertera perkataan “kartunis Zunar “ atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque yang hampir putus.
Kartun itu berjudul "kerajaan Malaysia memperkenalkan rang undang-undang berita palsu.”
Kerajaan, Isnin lalu membentangkan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat, yang menurut pengkritik akan menyaksikan kebebasan akhbar dan bersuara di negara ini terus terhakis.
Bagi pihak pembangkang pula, mereka menuduh kerajaan sebagai dalang di sebalik kebanyakan berita palsu di negara ini.
Antara lain, rang undang-undang itu memperuntukan hukuman berat - denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun, atau kedua-duanya - bagi mereka yang didapati bersalah menyebarkan "berita palsu".
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment