Pages

Wednesday, 4 April 2018

[Video Janji Pakatan Utamakan Kepentingan Rakyat] 'Umno sendiri menghasut rakyat untuk TOLAK BN'.

Khamis, 5 April 2018


Tumpang sekole.

"UMNO SENDIRI MENGHASUT RAKYAT UNTUK TOLAK BN"

1. Tan Sri Annuar Musa dan UMNO masih dalam sindrom penafian dan ia adalah sesuatu yang baik untuk Pakatan Harapan (PH). Dalam situasi penafian ini, UMNO terus 'mabuk' dibuai mimpi seolah-olah rakyat masih memberi sokongan kepada mereka, hanyut dalam pujian dan dokongan, sedangkan rakyat sudah muak dan tidak sabar memuntahkan undi kemarahan mereka bagi menghumban Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke -14.

2. Kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang menuduh pembangkang sebagai penghasut rakyat terutama orang miskin agar membenci Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah bukti menidakkan fakta sebenarnya bahawa GST merupakan penyebab utama kesusahan yang ditanggung oleh rakyat berikutan kegagalan pemimpin UMNO-BN menjawab isu GST yang menyebabkan harga barang naik secara tidak terkawal seperti mana kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang menyalahkan orang tengah sebagai puncanya, dan kini Tan Sri Annuar pula menyalahkan pembangkang kononnya menghasut rakyat.

3. Kenyataan demi kenyataan dari pimpinan UMNO-BN  membuktikan bahawa pemimpin UMNO-BN tidak duduk dan berdiri bersama rakyat marhaen di bawah. Mereka tidak mengerti keperitan dan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat ketika memperkenalkan GST, sebaliknya hanya nampak satu sudut sahaja bahawa GST menguntungkan pihak kerajaan dan negara.

Maka beberapa fakta di war-warkan kononnya GST memberi keuntungan kepada rakyat, GST boleh membantu rakyat dengan pulangan kepada rakyat melalui BRIM, harga barang tidak akan naik dan malah ada pemimpin UMNO bersungguh-sungguh mengatakan harga barang akan turun, tanpa GST negara akan muflis dan lain-lain kenyataan jelek. 


4.  Setelah tiga tahun usia GST dan ketika rakyat merungut, bangkit dan marah-marah, maka barulah pemimpin UMNO tersentak kerana apa yang mereka 'suap' kepada rakyat tidak sedikit pun membuat rakyat berasa selesa. Harga barang semakin mencanak naik, rakyat semakin resah dan benci dengan UMNO, hatta pemberian BRIM juga tidak mampu untuk meredakan kebencian rakyat kerana rakyat hari ini sudah bijak menilai.

5. Faktanya, GST tetap dikenakan kepada sesiapa sahaja, samada orang kaya mahupun orang miskin, daripada orang di tengah bandar besar mahupun di ceruk pedalaman, peneroka Felda, nelayan,buruh kasar semuanya tidak terlepas dari GST.

Tidak perlu penerangan mengenai GST, kerana ia adalah cukai yang mencakupi serta menjerat leher semua rakyat Malaysia.
Oleh demikian, tuduhan pembangkang menghasut rakyat adalah suatu tindakan terdesak UMNO-BN untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu skandal mega 1MDB kerana Pakatan Harapan (PH) tidak perlu berkempen atau menghasut kerana kesannya sudah dirasai di mana-mana pelusuk negara. Tindakan sedemikian membuktikan bahawa UMNO-BN sendiri yang menghasut rakyat agar membenci pemerintahan mereka mentadbir negara.

6. Rakyat tidak marah seandainya GST itu memberi faedah dan kebaikan, jika harga barang naik disebabkan oleh 'orang tengah' dan bukan GST, maka di sini dapat dilihat bahawa kerajaan gagal menguruskan ‘orang tengah’  terbabit sehingga sewenang-wenangnya menaikkan harga barang. Jika rakyat menyukai GST, apa pun yang pembangkang berikan, rakyat tidak akan terima dan sebaliknya rakyat akan sokong dan menerima GST dengan senang hati serta mahu kekalkan kerajaan UMNO-BN.

7. Namun, ketika Pakatan Harapan (PH) membentangkan manifestonya dengan perkara utama yang diperjuangkan adalah menghapuskan GST, rakyat gembira menerima dengan baik dan senang hati.
Sambutan rakyat terhadap ceramah, penerangan, taklimat dan apa juga aktiviti yang dianjurkan oleh PH amat memberangsangkan. Harapan rakyat begitu tinggi  agar kerajaan PH mengambil alih pentadbiran negara seterusnya penghapusan GST menjadi kenyataan bagi membolehkan ia melaksanakan segala tawaran serentak dan melucutkan leher rakyat dari ikatan tali sengsara ciptaan kerajaan kleptokrasi UMNO-BN.

8. Pertahankanlah GST wahai Tan Sri Annuar Musa dan berterusanlah menyalahkan sesiapa sahaja yang menolak GST kerana ianya adalah kempen dan hasutan percuma, bukan ditaja oleh pembangkang mahupun PH, tetapi oleh batang tubuh UMNO-BN sendiri. 

Anda sendiri yang menghasut rakyat agar membenci dan membuang diri anda dengan nyanyian GST sebagai cukai tidak membebankan rakyat, kononnya dengan pelaksanaan GST harga barangan turun, ternyata bohong dan "lawak bodoh".

DATO' HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
4 Apr 2018/17 Rejab 1439H.

1 comment:

  1. Juz declare the day...when is election...I have decided already...who to VOTE.

    ReplyDelete