Mansuh Askar Melayu? Najib baca ‘mantera tahyul’ fitnah DAP
Serangan bertali-arus pemimpin-pemimpin UMNO-BN terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) khususnya DAP sudah masuk gear lima.
UMNO telah merelakan diri menjadi ‘hantu’ perkauman untuk menakut-nakutkan rakyat pelbagai suku bangsa negara ini dengan provokasi sedemikian kerana terdesak untuk melanjutkan hayatnya.
Jika dahulu rakyat sering dimomokkan kononnya DAP sebagai parti perkauman Cina yang mengancam kepentingan orang Melayu dan Islam, kini, momokan itu dihalakan khusus kepada pasukan keselamatan negara tentera dan polis.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu Najib Razak menuduh kononnya hak dan kepentingan orang Melayu akan terkubur jika pembangkang menawan Putrajaya; kini beliau menuduh kononnya Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) akan terancam – mengaitkannya dengan slogan Malaysian Malaysia DAP. Terang lagi bersuluh, ini adalah fitnah berita palsu.
‘Mantera tahyul’ inilah yang akan terus dibaca oleh pemimpin-pemimpin UMNO sepanjang musim kempen PRU14 dan tidak hairan jika ‘mantera’ ini dicetak dan diedarkan sehingga masuk ke rumah-rumah.
Inilah karut-marut pemimpin UMNO yang semakin terdesak. Mungkin pada fikiran mereka, anggota keselamatan kita tidak boleh membezakan antara kesetiaan kepada Raja dan Negara itu jauh berbeza dengan parti-parti politik.
Apa yang pasti, realitinya ‘mantera tahyul’ yang dibacakan Najib itu mendapat bidasan tokoh-tokoh perlembagaan termasuk mantan-mantan pesara tentera.
Adakah sebagai Perdana Menteri, Najib tidak tahu bahawa Rejimen Askar Melayu Diraja dilindungi Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan?
Adakah Najib tidak tahu bahawa Majlis Angkatan Tentera merupakan badan tertinggi yang mentadbir Angkatan Tentera Malaysia turut dianggotai oleh wakil Majlis Raja-Raja.?
Atau Najib benar-benar tidak tahu bahawa memansuhkan RAMD adalah ancaman kepada negara dan merupakan satu kerja di luar akal waras? – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment