10 akta, peruntukan undang-undang akan dimansuh dan dipinda Pakatan Harapan
Manifesto Pakatan Harapan (PH) telah menyenaraikan 10 akta dan peruntukan undang-undang yang akan dimansuhkan kelak, sekiranya membentuk kerajaan baharu mengantikan Barisan Nasional (BN).
Lima akta yang akan dimansuhkan adalah Akta Hasutan 1948;Akta Pencegahan Jenayah 1959;Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971;Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan; hukuman gantung mandatori dalam semua akta di negara ini turut dimansuhkan.
Selain itu lima lagi akta turut akan dipinda beberapa peruntukan yang terdapat di dalam Akta Kanun Keseksaan 1977;Akta Komunikasi dan Multimedia;Akta Kesalahan keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma);Akta Perhimpunan Aman 2012 dan; Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya PH memerintah akan memastikan mana-mana akta dan peruntukan undang-undang akan dikaji semula agar ia tidak disalah guna oleh parti pemerintah dan menekan rakyat.
“Pemansuhan akta-akta ini ada dalam manifesto PH.
” Kita akan ikut keperluan pada masa itu dan undang-undang yang kita akan luluskan adalah undang-undang yang tidak zalim. Tidak akan ada undang-undang untuk tekan kerajaan atau salah guna untuk menekan rakyat,” ujarnya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan di Bilik Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen hari ini.
Ditanya mengapa akta tersebut hanya akan dimansuhkan selepas PH memerintah sedangkan ia telah lama dilaksanakan sejak beliau menjadi perdana menteri 22 tahun, beliau berkata, tidak berlaku salah guna kuasa terhadap mana-mana akta untuk kepentingan pemerintah.
Justeru katanya, dengan memansuhkan akta tersebut akan dapat menghalang mana-mana pemimpin parti yang memerintah di masa akan datang, daripada berterusan menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka untuk kepentingan peribadi mahupun parti untuk kekal berkuasa.
“Pada masa itu (di zaman beliau) tidak ada salah guna undang-undang. Sekarang tidak laksana undang-undang yang ada. Jika sekarang kita lapor kesalahan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak) kita yang kena tangkap.
” Ada undang-undang yang terlalu terdedah kepada salah guna kuasa. Kita tidak tahu jika Pakatan Harapan akan salah guna kuasa. Mungkin selepas Pakatan Harapan, parti Kima akan jadi kerajaan, mungkin akan berlaku salah guna lagi,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment