Selepas bubar, masa untuk berubah, kekalkan GST atau mansuhkan
Wan Azizah berkata, kini pilihan di tangan rakyat.
Masanya kini telah tiba untuk rakyat bangkit melakukan perubahan dengan mengundi Pakatan Harapan selepas parlimen dibubarkan esok, kata Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Hari ini DYMM Yang Di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen ke-13 yang akan berkuat kuasa Sabtu 7 April 2018
Menurut Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya seterusnya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mengumumkan tarikh-tarikh penting termasuklah hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-14.
“Ini bermakna telah tiba masanya kuasa memilih kepimpinan negara kembali ketangan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau meminta, semua pihak menggunakan kuasa membuat pilihan yang amat penting ini demi masa depan anak cucu dan generasi akan datang.
“Kuasa undi saudara bakal menentukan halatuju negara untuk lima tahun ke depan,” kata Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi beliau, rakyat akan dapat memilih untuk mansuhkan GST atau kekalkan GST; untuk bersihkan negara dari najis rasuah atau kekalkan yang ada; untuk bina Malaysia yang lebih baik untuk semua atau kekalkan negara di tampuk lama.
“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk keluar mengundi beramai-ramai bila tiba hari mengundi nanti.
“Marilah kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai warganegara yang berhak mengundi, dan sama-sama meraikan demokrasi,” katanya.
Beliau juga menyeru seluruh kepimpinan dan jentera Pakatan Harapan untuk melipat gandakan usaha mendekati rakyat, menyampaikan warkah Manifesto Harapan, dan menceritakan kejayaan-kejayaan Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang.
Kataya, rata-rata kajian politik dan undian mendapati Pakatan Harapan sedang mengatasi Barisan Nasional dan bakal membentuk kerajaan baru di Putrajaya.
“Dapatan ini hanya dapat direalisasikan dengan sokongan, dokongan dan tindakan berani seluruh rakyat keluar mengundi Pakatan Harapan pada hari mengundi nanti.
“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati segala usaha kita, dan mengurniakan keamanan dan keselamatan dalam perjalanan PRU14 nanti,” katanya.
MD.
Will do that..insyallah
ReplyDelete