BERSIH dedah '10 jenayah berat SPR'
Gabungan untuk pilihanraya bersih dan adil (BERSIH) hari ini mendedahkan penemuan awal dari pemantauannya terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini yang menyimpulkan bahawa pilihan raya umum kali ini 'tidak bersih, bebas atau adil' walaupun belum sampai lagi hari mengundi pada 9 Mei ini.
Pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Saari menyenaraikan 'sepuluh jenayah berat' SPR dan mendesak semua pengundi keluar mengundi sebagai cara untuk mengatasi dakwaan percubaan menjejaskan integriti proses pilihan raya negara.
"SPR telah menggagalkan kita semua dan tidak menegakkan integriti pilihan raya negara kita. Walaupun PRU14 tidak bersih, bebas atau adil, Bersih 2.0 percaya bahawa anda (pengundi) akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya umum ini.
"Penipuan dan manipulasi pilihan raya hanya dapat diatasi jika anda semua rakyat Malaysia keluar mengundi seperti yang kita lakukan pada tahun 2008 dan 2013," kata Shahrul Aman pada sidang akhbar di pejabat Bersih di Petaling Jaya hari ini.
Menurut Shahrul Aman, antara "jenayah pilihan raya" yang disenaraikan termasuk kegagalan SPR untuk mengambil tindakan terhadap lebih 400 kesalahan pilihan raya termasuk rasuah, pembelian undi, layanan serta pemberian hadiah oleh parti politik atau individu yang bertanding.
BERSIH juga menyatakan kebimbangan kegagalan SPR membersihkan daftar pemilih; kegagalan SPR mendaftar pengundi yang layak; membuat syarat-syarat tambahan pilihan raya sewenang-wenangnya dan tidak munasabah; serta kegagalan untuk membenarkan pasukan pemantau pilihan raya yang bermakna.
MD.
No comments:
Post a Comment