Dr M dakwa ada usaha beli wakil rakyat WARISAN
Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat usaha membeli wakil-wakil rakyat Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Beliau berkata, Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal dihalang menyampaikan keputusan kemenangan partinya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14 kepada Yang di-Pertua negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
"Hingga kini, mereka telah menghalang Shafie daripada menemui yang dipertua negeri untuk menyatakan dirinya sebagai pemenang dalam pilihan raya, dan oleh itu calon jawatan ketua menteri.
"Ini sangat malang, kerana saya tahu bahawa Shafie mempunyai sokongan yang besar dari rakyat ke mana sahaja dia pergi.
"[...] Sekarang, terdapat percubaan untuk membeli beberapa pemenang supaya kerajaan terdahulu dan parti dapat menubuhkan kerajaan," katanya pada sidang akhbar pertamanya setelah dilantik sebagai perdana menteri ketujuh semalam.
Terdahulu, BN mendapat 29 kerusi DUN, jumlah sama yang diperolehi WARISAN dan rakan sekutunya PKR dan DAP.
Namun Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan menyertai BN dan memberikan majoriti mudah kepada gabungan itu untuk membentuk kerajaan negeri.
Semalam, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah bagi penggal terbarunya sebagai ketua menteri walaupun menerima bantahan dari rakyat Sabah.
Mahathir juga menegaskan undi dan kerusi yang dimenangi WARISAN dilihat berkurangan setiap kali pengiraan semula dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian.
"Dalam kiraan pertama, WARISAN mendapat 32 hingga 33 kerusi.
"Tetapi apabila mereka kira semula dan dikira pada masa yang lain, angka itu turun kepada 29," katanya.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment