Khairy Mengaku Salah, Hanya Bila Dah Kalah
Polis mungkin sudah tahu siapa arah bunuh Altantuya – Ramkarpal
Kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan model warga Mongolia Altantuya Sharibuu kini muncul di sebalik pembongkaran satu demi satu skandal puluhan billion 1MDB.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, polis tidak perlu menunggu laporan baru dibuat bagi membuka semula siasatan berhubung pembunuhan tersebut.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan besar bahawa orang yang mengarahkan pembunuhan Altantuya telah diketahui polis sejak awal kes berkenaan disiasat.
“Tidak perlu laporan polis baru untuk dibuat, memandangkan kemungkinan besar orang yang mengarahkan pembunuhan Altantuya sudah diketahui polis sejak awal siasatan kes berkenaan, dan ini merupakan aspek yang sangat penting yang tidak diambil kira dalam siasatan berkenaan.
“Tidak logik untuk penyiasat hanya bertanya siapa bunuh Altantuya tanpa bertanya motif tindakan dalam penyiasatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, laporan polis hanyalah ‘formaliti’ dan polis boleh membuka semula siasatan.
Selain itu, Ramkarpal menambah, Presiden Mongolia Battulga Khaltama pada 18 Mei lalu turut meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuka semula siasatan kes berkenaan.
Pihaknya juga turut menerima sepucuk surat daripada bapa Altantuya, Setev Shaariibuu, yang dikirim kepadanya meminta agar pihak yang mengarahkan pembunuhan anaknya agar mendapat hukuman.
“Dalam situasi ini, saya menggesa agar Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Fuzi membuka semula siasatan berhubung pembunuhan Altantuya dengan kadar segera, atau suruhanjaya siasatan diraja bersidang untuk menentukan motif pembunuhan,” katanya lagi.
Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas didapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment