Istiadat mengangkat sumpah pada mulanya dijadualkan pada 11 pagi 10 Mei, tetapi kemudian ditunda hingga jam 5 petang. Spekulasi mula bertiup bahawa mungkin terdapat percubaan untuk menghalagnya daripada secara rasmi dilantik sebagai perdana menteri.
Akhirnya, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada jam 9.30 malam itu.
Menurut isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, mereka menunggu di Istana Negara selama lima hingga enam jam sebelum upacara itu akhirnya dimulakan.
"Kami pernah ke Istana Negara sebelum ini, tapi hanya untuk masa yang singkat, dan kami bersedia.
"Tetapi kali ini kami tidak bersedia, dan kami tidak tahu yang kami akan berada di sana selama enam jam.
"Ia sangat sejuk. Kami seperti berada dalam peti sejuk. Itulah sebabnya anda nampak tangan suami saya menggeletar.
"Bukan kerana dia gementar, ini kerana kami sangat sejuk," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Semasa siaran secara langsung istiadat angkat sumpah itu, warga maya memberi komen mengenai tangan Dr Mahathir, yang kelihatannya menggeletar. Ramai yang menyangka ianya tanda gementar.
Kinitv.com
Mufti Wilayah: JAKIM dikaji semula untuk kemas kini, bukan dibubar
Langkah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukanlah bagi tujuan membubarkannya.
Sebaliknya, Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad menegaskan langkah itu lebih kepada mengemaskini badan agama itu untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.
“Kita tak bincangkannya. Setakat ini kita tak beri apa-apa (cadangan) lagi (tentang JAKIM).
“Tetapi saya pegang apa yang Tun Dr Mahathir Mohamad nyatakan sebelum ini bahawa isunya bukan dibubarkan tetapi isunya melihat peranan dan juga bagaimana untuk mengemaskini dan memperkasakannya.
"Insya-Allah, tidak ada masalah,” katanya ringkas kepada pemberita di Menara Ilham hari ini.
Zulkifli berkata demikian mengulas apakah pertemuannya hari ini bagi membincangkan tentang peranan JAKIM.
Polemik tentang masa depan JAKIM timbul apabila kerajaan dilaporkan mahu mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan peranan badan agama tersebut.
Perdana menteri berkata tindakan itu bertujuan untuk melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ketika ia ditubuhkan dulu.
Malah, Dr Mahathir dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet semalam sekali lagi menegaskan peranan JAKIM akan terus dibincangkan dan dikaji semula.
Sementara itu mengulas pertemuannya hari ini, Zulkifli berkata ia lebih kepada pencerahan soal agama dan tafsiran ayat-ayat al-Quran.
“Kami bincang berkenaan dengan agama sahaja. Kami bagi pencerahan kepada isu-isu berkenaan tafsir ayat-ayat al-Quran, isu-isu berkenaan dengan beberapa ayat al-Quran, surah-surah dalam al-Quran dan juga (perkara) yang berkait dengan soal-soal masyarakat di negara kita,” katanya lagi.
Mk.
No comments:
Post a Comment