Pegawai PTD ‘didera’ BN akan kembali bertugas, kata Dr M
Pegawai PTD ‘didera’ BN akan kembali bertugas, kata Dr M
Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan membenarkan pegawai berkenaan bertugas semula termasuk membayar pampasan.
Dr Mahathir Mohamad berkata beliau juga pernah menjadi mangsa ‘dera’ BN apabila semua kemudahan ditarik balik sehingga dipulau rakan-rakan.
PUTRAJAYA: Pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang dikenakan hukuman pemecatan dan penggantungan kerja kerana mengkritik kerajaan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) akan diberikan semula haknya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan itu termasuklah membenarkan pegawai berkenaan bertugas semula termasuk membayar pampasan.
“Kita janji akan bela mereka yang menjadi mangsa, tetapi kita kena dapatkan laporan dahulu. Yang betul-betul jadi mangsa kita bela dan proses itu sedang dilakukan kerana jumlahnya terlalu banyak, mungkin kita terlepas pandang.
“Kalau ada (pegawai yang didera) sila beritahu dan apa sebab mereka didera dan kerajaan akan kembalikan orang itu kepada pangkat lama atau kita bayar balik apa terhutang kepadanya,” katanya menjawab pertanyaan nasib pegawai PTD yang dikenakan tindakan kerana berbeza pandangan politik dengan kerajaan lepas.
Dr Mahathir berkata demikian ketika sesi soal jawab “town hall” bersama pegawai PTD di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan barisan menteri Kabinet.
Mengulas bentuk pampasan yang akan diberikan, Dr Mahathir berkata kerajaan memerlukan masa untuk menunaikannya kerana negara menghadapi kekangan kewangan.
“Negara hadapi kekangan wang, kita perlu masa untuk bagi balik apa yang mereka korbankan akibat berdiri menentang tindakan yang salah yang diarah oleh pimpinan mereka,” katanya.
Dr Mahathir turut berkongsi nasibnya menjadi mangsa “dera” kerajaan lepas apabila semua kemudahan ditarik balik sehingga dipulau rakan-rakan.
“Kita terpaksa terima hakikat kita didera kerana kita pertahan dan patuh kepada yang betul dan tolak yang salah.
“Saya kena dera juga, segala elaun saya ditarik, kemudahan dihapuskan, kawan hilang, tapi saya tak marah mereka jauh dengan saya, sebab mereka jauh bukan sebab tak suka tapi sebab tekanan tertentu.
“Tapi sekarang kami baik baliklah,” katanya sambil memaklumkan setiap cadangan untuk penambahbaikan kepada pegawai PTD akan dikaji supaya ia berfungsi dengan baik.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya tidak terlalu taat kepada pemerintah sehingga sanggup melakukan jenayah.
“Dalam sistem kita, PTD, tentara dan polis perlu setia kepada kerajaan yang dipilih rakyat, tapi kesetiaan itu tidak sampai kepada melakukan jenayah.
“Kalau disuruh sembunyi bukti, lakukan jenayah kita kena tolak kerana ia bertentangan dengan undang-undang.”
Pecat pegawai kerajaan amal rasuah
Perdana menteri juga mengulangi amaran kepada semua menteri dan timbalan menteri termasuk pegawai kerajaan jika terlibat dengan rasuah atau mereka akan dipecat.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dengan gejala rasuah yang cuba dibasmi oleh beliau.
Dalam nada bergurau, Dr Mahathir berkata ikutkan hati beliau ingin mengikut jejak China di mana pemerintah negara komunis itu menembak mati pesalah rasuah.
“Pemimpin sekarang sudah diberi amaran. Kalau terlibat dengan rasuah, dia akan dibuang.
“Di negara China, kalau terlibat dengan rasuah mereka akan ditembak mati, tapi mereka (Kabinet) tidak setuju untuk tembak mati.
“Kalau pegawai kerajaan tunjuk teladan yang tidak baik, tiada lagi kes tutup. Kalau mereka buat salah kita akan tolak kerana kita nak tunjuk teladan yang baik.
Beliau berkata kali ke-2 beliau menjadi perdana menteri, kepercayaannya kepada semua pihak termasuk pegawai kerajaan sedikit berkurangan.
“Dulu (kali pertama) saya tiada masalah jadi PM, boleh percaya semua orang. Sekarang hasutan pihak tertentu kita hadapi menyebabkan kurang kepercayaan,” katanya sambil memaklumkan pihaknya terpaksa memperkasakan undang-undang.
FMT.
No comments:
Post a Comment